Sudan isytihar kecemasan di 6 negeri susulan banjir

Astro Awani
Ogos 22, 2022 01:15 MYT
Majlis Menteri Sudan isytihar keadaan berjaga-jaga dan kecemasan susulan bencana banjir yang menjejaskan enam negeri. - Foto REUTERS
KHARTOUM: Kerajaan Sudan pada Ahad mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga dan kecemasan di enam negeri di negara itu berikutan hujan lebat dan banjir, lapor agensi berita rasmi SUNA.
“Dalam mesyuaratnya pada Ahad, Majlis Menteri mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga dan kecemasan susulan bencana banjir yang menjejaskan enam negeri, termasuk Sungai Nil, Gezira, Nil Putih, Kordofan Barat, Darfur dan Kassala Selatan,” kata laporan itu.
Ia menekankan keperluan menggerakkan usaha menarik sokongan kemanusiaan dari dalam dan luar untuk memberi bantuan kepada penduduk terjejas di negeri-negeri terbabit.
Pemangku Menteri Hal Ehwal Kabinet Osman Hussein Osman mengesahkan pembukaan akaun dalam mata wang tempatan dan asing bagi tujuan itu.
"Kami mengumumkan penggemblengan usaha bagi membantu mangsa terjejas dan mengukuhkan sistem amaran awal dan susulan bagi mengelakkan potensi kemusnahan," kata Osman.
Kawasan luas di Sudan baru-baru ini menyaksikan hujan lebat dan banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Angka kematian terbaharu akibat bencana itu meningkat kepada 80, menurut laporan Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam Sudan pada Ahad.
Hampir 136,000 rakyat Sudan terjejas akibat banjir dan hujan lebat sejak Jun, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.
Sudan sering menyaksikan banjir disebabkan oleh hujan lebat dari Jun hingga Oktober.
#Sudan #kecemasan #banjir #hujan lebat