Sudan: 16 orang awam maut dalam serangan RSF di Khartoum
Bernama
September 4, 2023 13:52 MYT
September 4, 2023 13:52 MYT
KHARTOUM: Angkatan Tentera Sudan (SAF) berkata 16 orang awam terbunuh dalam satu serangan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di ibu negara Khartoum pada Ahad, lapor Xinhua.
Tentera berkata RSF melakukan "serangan sembarangan" ke atas kawasan perumahan Karari dan Wad al-Bakhit di utara Omdurman, barat laut ibu negara, membunuh 13 orang awam dan mencederakan beberapa yang lain.
"Militia juga menyerang kawasan Al-Maseed (selatan Khartoum) dan melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk, membunuh tiga orang awam," menurut tentera dalam satu kenyataan.
SAF menambah pertempuran juga berlaku antara dua pihak bertelagah di kawasan Al-Shajara, selatan Khartoum, mengakibatkan kematian 5 anggota RSF dan mencederakan 6 yang lain.
RSF, sebaliknya, menuduh SAF mengebom kawasan perumahan di Nyala, ibu negeri Darfur Selatan di barat Sudan, membunuh 14 orang awam dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
Pasukan separa tentera dalam satu kenyataan berkata 60 tenteranya terbunuh pada Ahad semasa serangan di pangkalan Kor Jurutera SAF, barat bandar Omdurman.
Sudan telah menyaksikan pertempuran bersenjata antara SAF dan RSF di Khartoum dan kawasan lain sejak 15 April, yang menyebabkan lebih 3,000 orang terbunuh manakala lebih 6,000 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Sudan.
Lebih 4.5 juta orang telah hilang tempat tinggal di dalam dan di luar Sudan akibat konflik itu, menurut kemas kini terkini oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
--BERNAMA-XINHUA