Sudahlah diancam COVID-19, belalang juta kembali menyerang Kenya
Saraya Mia
Januari 20, 2021 19:00 MYT
Januari 20, 2021 19:00 MYT
KENYA ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila negara itu bukan sahaja terkesan akibat penularan virus COVID-19, ditambah pula dengan musuh yang bukan asing lagi, dan hadirnya dalam jumlah yang berjuta-juta!
Belalang juta yang terus membiak-biak itu kembali 'mengganas' di Kenya dan mengancam hasil tanaman petani yang pendapatan mereka masih lagi terkesan sejak kedatangan serangga itu dua tahun lalu.
“Di Kenya, beberapa kumpulan belalang juta muncul setiap hari dan kemudian bergerak timur, ke kawasan utara dan pertengahan negara.
“Belalang itu kini sudah menyerang tujuh buah negara, berbanding empat pada minggu lalu, sementara beberapa kumpulan masih sedang menunggu matang,” kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) kepada Reuters.
Menurut FAO lagi, penularan belalang juta di negara-negara bahagian 'Tanduk Afrika', iaitu Ethiopia, Somalia dan Kenya, udah mencapai tahap bahaya, lapor NPR.
Kemunculan jutaan belalang yang sering menyerang kawasan pertanian dan memakan hasil tani itu tidak mudah untuk ditangani, walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan para petani untuk menghalau serangga perosak itu.
“Dia (petani) sudah cuba untuk menghalau belalang, dan kami juga membantu, tetapi ia terlalu banyak,” ujar pegawai kanan projek di Perkhidmatan Bantuan Katolik di bandar Marsabit.
#Kenya
#serangga
#belalang juta
#menular
#Nairobi
#serangga perosak
#COVID-19
#petani
#hasil tanaman