Sudah terlalu banyak, Miami tekad mahu atasi masalah burung merak

Agensi
Februari 5, 2022 10:08 MYT
Dalam tempoh dua dekad, populasi merak di jalanan Miami termasuk di kawasan urban terus bertambah dan mencetus perdebatan. - AP
MIAMI: Populasi burung merak mungkin akan dipindahkan di luar kejiranan Florida Selatan, Amerika Syarikat selepas Suruhanjaya Miami-Dade bersetuju melonggarkan undang-undang yang melindungi burung berkenaan.
Walaupun undang-undang berusia 20 tahun itu masih kekal melindungi burung merak daripada diapa-apakan, pesuruhjaya wilayah bersetuju akhirnya untuk membentangkan rancangan yang sesuai untuk mengawal jumlah burung eksotik itu daripada berterusan membiak dan ‘mengganggu’ kehidupan harian penduduk.
“Musim mengawan adalah waktu kita mendapat banyak aduan. Merak menjadi sangat agresif. Merak-merak ini bertelur, membuat sarang dan mematuk kereta,” kata Raquel Regalado, yang daerahnya termasuk kawasan kejiranan di Coral Gables dan Miami di mana burung merak berkeliaran bebas.
Bagaimanapun, hubungan dengan burung itu mendapat reaksi yang bercampur. Ada pihak yang menyukai unggas berwarna-warni itu sementara sebahagian yang lain sering mengeluh tentang najis yang bersepah, bunyi bising dan kerosakan yang dilakukan dengan bertelur atas kenderaan atau rumah.
“Di daerah saya pula, kami belajar untuk hidup dengan merak. Ia menjadi sebahagian daripada komuniti. Saya tahu penduduk di tempat saya akan marah jika sesiapa mengganggu merak-merak ini,” ujar Pesuruhjaya Danielle Cohen Higgins yang mewakili Palmetto Bay.
Spesies bukan natif cenderung untuk bermaharajalela di Florida. Sebelum ini pesuruhjaya hidupan liar sebelum ini pernah membenarkan untuk membunuh iguana dan ular sawa Burma yang semakin membiak.
Pada tahun 2001, ordinan merak dikuat kuasa susulan satu petisyen yang mahu menyelamatkan sekumpulan burung itu di Miami-Dade selatan. Ia antara lain menyatakan, merak tidak boleh dibunuh atau ditangkap. Begitupun, pemilik kediaman dibolehkan memindahkannya jika perlu sahaja.
Undang-undang negeri tentang spesies bukan natif itu juga menghalang pelepasannya ke habitat liar, sementara zoo dan santuari burung tidak mahu pula menerimanya. Akhirnya dalam tempoh dua dekad, populasi merak di jalanan termasuk di kawasan urban terus bertambah.
Suruhanjaya akhirnya bersetuju untuk melonggarkan undang-undang, dengan menerima cadangan mitigasi.
Regalado bagaimanapun berkata, cabaran bagi pemimpin perbandaran adalah untuk mencari lokasi yang sesuai untuk pemindahan merak, memandangkan penyelesaian menyuntik mati burung itu tidak mendapat sokongan.
#Burung merak #Miami #undang-undang #hidupan liar
;