Suasana pilu rakyat Singapura beri penghormatan terakhir kepada Lee Kuan Yew
AFP
Mac 25, 2015 22:18 MYT
Mac 25, 2015 22:18 MYT
Ribuan rakyat Singapura yang berbaris panjang di jalanan dilihat menitiskan air mata pada Rabu untuk memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin yang mereka sanjungi, Lee Kuan Yew.
Selepas dua hari tempoh tertutup untuk ahli keluarga, keranda mendiang akhirnya dibawa keluar dengan kenderaan khas dari Istana Presiden ke bangunan Parlimen. Ia akan dibiarkan di situ sehingga hujung minggu.
Tokoh pemimpin disegani berusia 91 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu selepas menghabiskan kira-kira separuh kurun hayatnya dalam pentadbiran republik tersebut.
Singapura dalam pentadbirannya telah bertukar daripada sebuah jajahan miskin British kepada salah sebuah negara dengan rakyat termakmur di dunia.
Pentadbiran republik itu kini diteruskan oleh anak lelakinya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Hsien Loong ternyata agak terkejut dengan jumlah khalayak yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada bapanya itu.
Beliau juga mengumumkan bahawa bangunan Parlimen akan dibuka 24 jam sehingga malam Sabtu memandangkan sambutan luar biasa daripada orang awam.
Lee Kuan Yew akan dikremasi pada hari Ahad selepas upacara pengebumian negara dijalankan. Upacara itu dijangka dihadiri oleh beberapa pemimpin dari serata Asia Pasifik.
Tepukan dan jeritan "Kami menyayangimu!" dan "Lee Kuan Yew!" memecah kesunyian suasana apabila sebuah keranda berwarna perang gelap bertutup bendera kebangsaan di dalam kotak kaca dibawa keluar dari Istana Presiden dengan menggunakan kenderaan khas milik tentera.
Sebelum itu, sewaktu kenderaan khas itu berhenti di hadapan bangunan Istana Presiden, pasukan pengawal khas negara memainkan lagu 'Auld Lang Syne' menggunakan instrumen beg paip.
Sejurus kenderaan khas kelihatan muncul dari kompleks pemerintah, ramai orang awam telah bersiap sedia menunggu di belakang penghadang di sepanjang laluannya. Mereka kelihatan menangis sambil merakamkan peristiwa bersejarah itu dengan kamera dan telefon pintar masing-masing.
Ada di antaranya mencampakkan bunga-bungaan di laluan kenderaan khas itu, manakala pekerja pejabat hanya memerhati dari tingkap-tingkap bangunan tinggi.
Orang awam boleh memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lee Kuan Yew dengan melawat keranda beliau di ruang legar bangunan Parlimen Singapura. - Foto AFP/ROSLAN RAHMAN
Presiden Tony Tan dan isterinya Mary merupakan yang terawal memberi penghormatan terakhir, dengan melakukan ritual menundukkan badan tiga kali sebelum keranda Lee Kuan Yew ditutup di ruang legar Parlimen.
Menjelang waktu petang, sebahagian daripada rakyat Singapura telah beratur selama lapan jam dalam barisan yang membentuk lingkaran tanpa putus sehingga di zon bisnes pusat bandaraya.
Kebanyakan daripada mereka berlindung di bawah payung kerana matahari memancar terik dengan suhu 33 darjah Celsius.
Dalam kelaziman gaya rakyat Singapura, khalayak ramai tersebut masih dalam aturan yang santun dan terkawal. Air minuman percuma dan tandas bergerak juga disediakan.
Anggota komando turut membantu mengawal kelancaran trafik sementara keutamaan dalam barisan panjang itu diberi kepada warga tua, wanita hamil dan juga golongan kelainan upaya.
Rakyat dari segenap lapisan memberi penghormatan kepada bekas pemimpin autoritari yang selama inj popular dengan singkatan 'LKY'.
"Situasi ini luar biasa. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini sepanjang hidup saya, ujar eksekutif bank Zhang Wei Jie, 36.
GALERI FOTO: Penghormatan terakhir buat mendiang Lee Kuan Yew