Suara Malaysia didengari di CHOGM 2013
Bernama
November 16, 2013 09:32 MYT
November 16, 2013 09:32 MYT
Pandangan Malaysia yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembangunan saksama dan memperkasakan belia mendapat perhatian di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2013 di sini pada Jumaat.
Najib diberi peluang untuk melakukan intervensi pada sesi perbincangan bersama pemimpin negara Komanwel iaitu mengenai tema 'Kemajuan Bersama Keseimbangan, Pembangunan Inklusif' dan sesi dialog bersama pemimpin belia.
Pada sesi perbincangan tema CHOGM, Najib berkata beliau berkongsi falsafah bahawa pembangunan Malaysia sememangnya berkisarkan 'kemajuan bersama keseimbangan' iaitu pembangunan negara lebih bersifat inklusif tanpa meminggirkan mana-mana golongan.
Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, Najib berkata pembangunan saksama perlu dijadikan landasan bagi negara-negara anggota Komanwel.
Katanya dalam Komanwel sekarang masih berlaku pembangunan yang tidak seimbang mengikut kategori dengan 48 negara anggotanya dikategorikan sebagai 'sedang membangun', 14 negara 'paling kurang membangun' manakala 31 negara sebagai 'kecil dan mudah terjejas'.
"Sebagai sebuah negara kita (Malaysia) percaya pada pasaran ekonomi...pasaran ekonomi tidak dapat agihkan kekayaan secara adil dan saksama.
"Oleh itu kerajaan perlu buat intervensi tapi intervensi tidak tolak asas atau ekonomi pasaran asas," katanya.
Semasa intervensi itu, Najib turut berkongsi kejayaan Malaysia mengurangkan kadar kemiskinan, peningkatan mobiliti sosial berdasarkan pendemokrasian pendidikan serta peningkatan golongan kelas pertengahan.
Pada sesi dialog bersama pemimpin belia, Najib berkata beliau berkongsi konsep '5E' untuk memperkasakan generasi muda dalam pembanguan negara iaitu Engagement (penglibatan), Empowerment (pemerkasaan), Employment (pekerjaan), Education (pendidikan), Entreprenuership (keushawanan).
"5E yang saya sebut disahut pengerusi (majlis) yang meminta pemimpin-pemimpin belia memberi respons pada setiap 'E' yang dikemukakan," katanya.