Suara dari Tel Aviv: Ini jenayah perang oleh Israel, tiada perikemanusiaan

Harits Asyraf Hasnan
Mei 15, 2021 15:46 MYT
Cara untuk menghentikan kekejaman rejim ala aparteid ini adalah dengan campur tangan antarabangsa. - Reuters
KUALA LUMPUR: Tindakan yang dilakukan Israel terhadap Palestin adalah jenayah perang yang kini semakin memburuk terutama di Gaza.
Itu tegas penasihat kepada Ahli Parlimen Israel, Haneen Zoabi, Yudit Ilany di Tel Aviv yang mengakui kebencian terhadap Palestin semakin memuncak di Israel.
Bercakap kepada Astro AWANI, Yudit berkata, kebencian itu didukung oleh beberapa pemimpin politik Zionis Israel, termasuk menteri yang bertanggungjawab terhadap polis.
Beliau menegaskan tindakan kejam rejim Zionis Israel ini tidak boleh diterima oleh ramai penganut Yahudi.
"Saya tidak fikir ini merupakan isu keagamaan. Agama memainkan peranan, tetapi orang Yahudi serta penganutnya yang tinggal di seluruh dunia tidak sama dengan Zionis.
"Penting untuk kita bandingkan antara dua itu. Yahudi yang tinggal di Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan serta di beberapa kawasan di Asia tidak bertanggungjawab terhadap kekejaman rejim Zionis.
"Ini bukan isu Islam atau Kristian kerana anda perlu ingat bahawa ada juga penganut Kristian yang tinggal di Palestin," katanya sebagai reaksi kepada situasi yang berlaku di Palestin ketika ini.
Jelasnya, cara untuk menghentikan kekejaman rejim ala aparteid ini adalah dengan campur tangan antarabangsa.
Namun, beliau yakin Israel tidak mahu wujud campur tangan antarabangsa dalam krisis tersebut.
"Saya tidak percaya bahawa Islam mahupun Yahudi merupakan agama yang menggalakkan peperangan. Kedua-duanya menggalakkan keamanan. Terlalu bahaya sekiranya agama, apa-apa disalah guna demi melaksanakan peperangan.
"Apa yang berlaku kini melampaui segalanya, isu hak asasi manusia, hak rakyat Palestin terhadap negara, tanah, rumah dan nyawa insan tidak bersalah selain hak kanak-kanak untuk merasai kehidupan yang baik, mengamalkan budaya.
"Ini merupakan perkara asas hak kemanusiaan yang melampaui segala alasan lain," ujarnya.
Justeru, Yudit berpandangan gencatan senjata perlu dilaksanakan bagi memastikan gerakan nasional Zionis itu tidak lagi meragut nyawa insan yang tidak berdosa.
Tindakan Israel jenayah perang, bukan isu agama
#Palestin #Islam #Israel #Gaza #Amerika Syarikat #Parlimen #politik #Zionis #Kanak-kanak #jenayah
;