Suara dan jiwa Kelantan di Washington D.C

Irwan Muhammad Zain
Oktober 21, 2023 11:00 MYT
Menerusi -Sounds and Soul of the East Coast", Malaysia tidak hanya memperkaya landskap budaya, tetapi juga mewujudkan garis hubungan diplomatik yang berwibawa. - Gambar Keduataan Malaysia di Washington D.C
KUALA LUMPUR: Di tengah hiruk-pikuk Washington D.C, berlangsung satu acara yang mempunyai semangat dan jiwa tersendiri sedang mengukuhkan hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dengan cara yang unik.
Warisan seni dan budaya gemilang negeri Kelantan yang diiktiraf UNESCO kini berada di ibu kota Amerika Syarikat, mengiringi angin diplomatik melalui program 'Cultural Diplomacy: Sounds and Soul of the East Coast" yang sedang berlangsung.
Pada bulan ini, Kedutaan Malaysia di Washington D.C menggenggam erat keindahan seni dan budaya dari Kelantan dan memperkenalkannya kepada khalayak yang tidak terbatas, termasuk diplomat, pegawai Kerajaan Persekutuan AS dan pakar industri pelancongan.
Mereka diberi peluang langka untuk merasai dan menyaksikan sendiri persembahan wayang kulit, tarian yang memukau hati, irama muzik yang menggetarkan jiwa, dan ritual rawatan tradisional yang mempesonakan dari negeri Pantai Timur.
Menurut Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kebudayaan memainkan peranan penting dalam diplomasi, berfungsi sebagai jambatan yang memupuk persefahaman dan hubungan antara negara.
“Kita tidak boleh menolak kepentingan seni budaya tradisi yang mampu memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
"Seni dan budaya berfungsi sebagai jambatan yang memupuk persefahaman dan hubungan antarabangsa.
"Adat resam dan tradisi mempunyai kuasa tersendiri yang membolehkan kita mendalami intipati budaya yang berbeza, akhirnya membawa kepada pemahaman yang lebih baik tentang tentang sesuatu kaum dan negara.
“Dan lebih penting kesenian dan kebudayaan juga mampu menjadi perantara diplomasi antara Malaysia dan negara lain seperti Amerika Syarikat,” katanya kepada Astro AWANI.
Penolong Setiausaha Negara – Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik untuk Jabatan Negara AS, Daniel Kritenbrink merakamkan penghargaan atas uasaha mengukuhkan hubungan dua hala menerusi diplomasi budaya ini.
“Malaysia mempunyai peranan penting untuk dimainkan di seluruh dunia meningkatkan keamanan dan keselamatan serantau dan global.
"Amerika Syarikat benar-benar komited terhadap hubungan dan persahabatan kami yang telah lama terjalin dengan Malaysia dan persahabatan antara rakyat Amerika dan Malaysia," katanya.
Dan memang benar, adat resam dan tradisi adalah alat yang kuat yang membantukita memahami intipati budaya yang berbeza, akhirnya membawa kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang rakyat mereka.
Program '"Sounds and Soul of the East Coast" yang berlangsung sepanjang 19 hingga 30 Oktober ini memperkenalkan serangkaian persembahan dan demonstrasi yang memukau.
Antaranya termasuk wayang kulit Kelantan yang menghidupkan legenda dan mitos, perubatan kerohanian Main Teri yang menenangkan jiwa, teater tradisional Mak Yong yang memukau, tarian Tari Inai yang mempesonakan dengan keindahannya, seni bela diri Silat Jawi yang menunjukkan kelebihan fizikal dan mental, serta persembahan muzik yang menghidupkan jiwa, Dikir Barat.
"Persembahan Main Teri amat bertepatan kerana pada saya ketika ini ramai yang perlukan peyembuhan atau pengubatan.
"Kenapa saya katakan ramai perlukan pengubatan atau penyembuhan, kita perlu lihat apa yang berlaku ketika ini.
"Banyak yang perlu diubati dan disembuhkan agar semua jenis tindakan pencerobohan dari semua pihak mesti berhenti," katanya lagi.
Persembahan dari wakil Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) diketuai Kamrulbahri Hussin yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur memukau setiap mata yang hadir di majlis yang gemilang itu.
Namun, tumpuan utama dalam program budaya ini adalah teater tradisional Mak Yong yang diiktiraf oleh UNESCO.
Mohamed Nazri percaya banyak lagi persembahan seni budaya tradisi dari Kelantan dan negeri lain di Malaysia sepatutnya mendapat pengiktirafan UNESCO supaya ia dapat dipelihara dan berguna untuk generasi akan datang.
Sounds and Soul of the East Coast" adalah acara sulung dalam siri program diplomasi budaya yang akan diterajui oleh Mohamed Nazri sejak menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Program-program ini bertujuan untuk mempromosikan seni dan budaya Malaysia sebagai penyatuan kepada identiti kebangsaan, menonjolkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, dan mencipta momentum menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Lebih dari sekadar perhimpunan seni dan budaya, inisiatif ini juga memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran budaya Malaysia dalam kalangan diaspora Malaysia di Amerika Syarikat dan masyarakat global.
Menerusi “Sounds and Soul of the East Coast", Malaysia tidak hanya memperkaya landskap budaya, tetapi juga mewujudkan garis hubungan diplomatik yang berwibawa.
Diplomasi budaya yang mencorakkan “Sounds and Soul of the East Coast" adalah bukti bahawa bahasa seni adalah jembatan kepada persefahaman antara negara.
Dalam rentak perubahan global yang berterusan, Mohamed Nazri yang mewakili Malaysia memilih suatu cara yang agung, menjadikan keindahan seni dan budaya sebagai medium yang menyatukan negara dan memukau dunia.
#Malaysia #Washington D C #diplomasi budaya #Mohamed Nazri Abdul Aziz
;