'Suamiku dimakan buaya' - Isteri kahwini kawan baik mangsa selepas tuntut insurans

Agensi
Mac 24, 2019 05:10 MYT
Denise mendakwa suaminya itu hilang dimakan buaya ketika sedang memburu di sebuah sungai berdekatan.
Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara seumur hidup apabila didapati bersalah kerana membunuh dan memalsukan kematian suaminya bagi mendapatkan wang perlindungan insurans.
Wanita yang dikenali sebagai Denise itu telah berjaya membunuh suaminya, Mike, dengan “pertolongan” kawan baik suaminya, Brian dan mendakwa suaminya itu hilang dimakan buaya ketika sedang memburu di sebuah sungai berdekatan.
Memetik laporan The Mirror UK, Denise didapati bersalah selepas Brian mengaku bersalah di hadapan mahkamah sewaktu disoal siasat oleh pihak polis.
Menurut pengakuan yang dibuat oleh Brian, dia bersubahat dengan Denise untuk membunuh Mike selepas Denise berjanji untuk mendirikan rumahtangga bersamanya.
Mike merupakan seorang ejen hartanah yang suka memancing dan memburu di waktu lapang.
Oleh kerana hobinya yang agak merbahaya, Brian yang bekerja di syarikat insurans membantu Mike mendapatkan tiga polisi insurans yang memberi perlindungan berjumlah kira-kira AS$1.75 juta kepada keluarganya sekiranya berlaku sesuatu kepadanya.
Oleh itu, mereka juga merancang untuk mendapatkan duit insurans berkenaan bagi menjamin kesenangan hidup mereka selepas mendirikan rumahtangga bersama.
Mereka telah berjaya menipu semua orang termasuk pihak berkuasa dan meraih wang insurans berkenaan.
Namun, selepas mereka berkahwin selama tujuh tahun, Denise dan Brian kemudiannya bercerai.
Pada 2016, Brian mengacukan pistol ke arah Denise dan mengugut untuk membunuhnya jika mereka tidak kembali bersama.
Denise berjaya memujuk bekas suaminya itu untuk meletakkan senjata, namun, terus melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Brian akhirnya ditahan dan mengaku bersalah mengugut untuk membunuh bekas isterinya itu.
Ia tidak berakhir di situ, Brian juga mengaku bersubahat bersama Denise untuk membunuh rakan baiknya Mike.
Denise disoal siasat dan kemudiannya didapati bersalah kerana merancang melakukan pembunuhan serta memalsukan kematian suami pertamanya itu.
Denise dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup manakala Brian menerima hukuman penjara 20 tahun.
#buaya #bunuh #Florida #kematian #palsu #penjara #suami #wanita
;