Suami paksa isteri goda lelaki demi wang

Sinar Harian
Oktober 28, 2018 06:02 MYT
Lelaki itu dilaporkan akan membelasah isterinya sekiranya gagal mendapatkan sekurang-kurangnya 3,000 yuan (RM1,803) sehari. - Gambar hiasan
Seorang lelaki di China dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana memaksa isterinya menggoda lelaki di dalam talian dan menipu wang mereka, semata-mata untuk dibelanjakan ke atas pelacur dan kereta mewah.
Lelaki terbabit dikatakan memaksa isterinya duduk di hadapan komputer dan berborak dengan lelaki lain dari jam 7.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari.
Wanita itu kemudian disuruh meraih simpati lelaki dengan menceritakan 'kepayahan hidupnya' ataupun menggoda lelaki hidung belang untuk memberi wang kepadanya sebagai balasan untuk melakukan hubungan intim.
Menurut polis, wanita itu berjaya mengaut 310,000 yuan (RM186,396) hasil penipuan tersebut dengan menyasarkan pengguna internet yang juga golongan berada yang tinggal di wilayah Delta Sungai Yangtze.
Lelaki itu akan membelasah isterinya sekiranya gagal mendapatkan sekurang-kurangnya 3,000 yuan (RM1,803) sehari.
"Dia mengekori saya ke mana sahaja dan kadangkala menggari tangan saya," cerita wanita itu kepada pihak polis setelah berjaya melarikan diri daripada suaminya.
Portal akhbar Thecover.cn. melaporkan, mahkamah di wilayah Shapingba hanya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap wanita itu kerana dia dipaksa oleh suaminya untuk melakukan jenayah tersebut, dan mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun untuk dijaga.
Sementara itu, kereta pasangan tersebut akan dilelong untuk membayar semula sebahagian wang mangsa yang ditipu, namun ada mangsa yang menolak pembayaran setelah mendapat tahu kisah sebenar wanita itu.
Tindakan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas wanita terbabit mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang kebanyakkannya tidak setuju wanita itu dihukum. - Agensi
#China #Delta Sungai Yangtze #goda mangsa #hubungan intim #kepayahan hidup #kereta mewah #lelaki hidung belang #pelacur #Shapingba #tipu lelaki
;