Suami mati ditembak, isteri mati dipukul selepas tahan 23 kanak-kanak sebagai tebusan
Agensi
Februari 2, 2020 23:00 MYT
Februari 2, 2020 23:00 MYT
Polis India menembak mati seorang lelaki selepas menjadikan 23 kanak-kanak sebagai tebusan menerusi satu jemputan majlis hari jadi palsu anak perempuannya dalam kejadian di Uttar Pradesh, India, baru-baru ini.
Lebih menyedihkan lagi apabila isterinya turut maut dipukul oleh penduduk kampung selepas cuba melarikan diri.
Kesemua kanak-kanak malang itu akhirnya berjaya diselamatkan selepas ibu bapa mereka berkumpul di luar rumah lelaki yang dikenali sebagai Subhash Batham, 40.
Dalam pada itu, polis di wilayah Farrukhabad, Anil Kumar Mishra berkata, penduduk kampung amat marah selepas anak-anak mereka dikurung sebagai tebusan lebih dari 10 jam.
Mereka kemudiannya menyerang isteri Batham dengan membaling batu selepas wanita itu cuba melarikan diri.
“Wanita itu dibawa keluar oleh penduduk kampung sebelum dipukul. Polis berjaya menyelamatkannya sebelum menghantar mangsa ke hospital.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital,” kata Mishra kepada Al Jazeera.
Terdahulu, Batham yang memang memiliki beberapa rekod jenayah menjemput kanak-kanak di kampung ke rumahnya dengan alasan menyambut hari lahir anak perempuannya yang pertama.
“Tiada majlis hari jadi langsung dia sebaliknya mengumpulkan semua kanak-kanak berkenaan sebelum dikurung sebagai tebusan.
“Batham kemudian meminta wang tebusan sebanyak 10 juta rupees (RM571,744) bagi setiap seorang kanak-kanak,” katanya.
Sebelum ini, menurut laporan , Batham ditembak dari dalam rumahnya.
“Kami cuba berbincang, tetapi menemui jalan buntu. Disebabkan mahu menjaga keselamatan kanak-kanak yang dikurung, kami memecahkan pintu rumahnya sebelum menembak Batham,” jelas polis.