Suami kahwinkan isteri dengan kekasih
Sinar Harian
Jun 2, 2018 12:20 MYT
Jun 2, 2018 12:20 MYT
Seorang suami yang mendapat tahu isteri yang baru dikahwininya mencintai lelaki lain sanggup mengadakan majlis menyatukan pasangan berkenaan.
Umpama adegan di dalam filem begitulah yang terjadi di kampung Sanigwan India, apabila lelaki yang dikenali sebagai Sujit mengaturkan satu majlis untuk mengahwinkan isterinya, Shanti dengan kekasihnya bernama Ravi.
Sejak berkahwin pada 19 Februari lalu, Sujit sering melihat isterinya bersedih dan akhirnya Shanti mengaku bahawa dia sebenarnya mempunyai kekasih serta dipaksa berkahwin.
Sujit yang terkejut dengan pengakuan isterinya berjanji untuk mengahwinkannya dengan Ravi.
Sujit kemudian bertemu keluarga kedua-dua pihak untuk meyakinkan mereka mengenai rancangannya dan meminta polis untuk membantu.
Akhirnya pada Rabu lalu, ratusan penduduk berkumpul di sebuah kuil di kampung itu untuk menyaksikan perkahwinan Shanti dan Ravi.
"Pada mulanya, pelbagai fikiran negatif timbul dalam fikiran, saya juga terfikir untuk menghapuskan kedua-duanya, namun keluarga kami akan turut terjejas, jadi selepas berbincang dengan ahli keluarga, saya membuat kesimpulan kami semua boleh hidup bahagia," kata Sujit.