Suami isteri warga Malaysia maut dalam kemalangan rombongan kumpulan 'Debu'

Astro Awani
April 18, 2022 16:26 MYT
Pasangan suami isteri warga Malaysia maut dalam kemalangan membabitkan rombongan kumpulan muzik Debu di Jawa Timur, Indonesia. Pasangan warga Malaysia, Firdaus dan Al Hadad tiada dalam foto ini. Sumber Foto - Instagram @debu.online
PASANGAN suami isteri warga Malaysia maut dalam kemalangan membabitkan rombongan kumpulan muzik Debu di Jawa Timur, Indonesia pada awal pagi Isnin.
Mangsa dikenal pasti sebagai Firdaus Harun Rashid, 31, dan isterinya, Al Haddad Amal Sheikh Aidaros, 30.
Memetik laporan media tempatan, empat penumpang lain mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Dr Mohamad Saleh.
Menurut sumber yang rapat dengan pasangan warga Malaysia berkenaan, Firdaus rapat dengan ahli kumpulan Debu.
Menurut pihak Polis Trafik Jawa Timur, kemalangan berlaku di Tol Pasuruan - Probolinggi arah timur ke barat di Kota Probolinggi pada jam 12.10 pagi tadi.
Rombongan kumpulan muzik itu dilaporkan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire sebelum terlanggar belakang lori.
Kereta Vellfire tersebut remuk di bahagian depan manakala lori terbabit beredar dari lokasi.
Debu merupakan kumpulan muzik terkenal dengan lagu kerohanian berpangkalan di Jakarta Selatan, kebanyakannya dianggotai warga Amerika Syarikat.
#debu #kemalangan #maut #warga Malaysia maut
;