Suami isteri ditahan susulan penemuan mayat amah dalam peti sejuk beku

Agensi
Februari 24, 2018 07:50 MYT
Penduduk daerah Iloilo memegang plakad sambil menunggu ketibaan mayat Joanna Demafelis di kampung halamannya di Filipina, 17 Feb, 2018. REUTERS / Fail
Sepasang suami isteri ditahan susulan penemuan mayat amah warga Filipina dalam peti sejuk beku di Kuwait, menurut pegawai kehakiman Lubnan pada Sabtu.
Pasangan terbabit, dikenali sebagai Nader Essam Assaf dan Mona, ditahan di Damsyik kerana disyaki membunuh mangsa, Joanna Demafelis.
Assaf, warganegara Lubnan, diekstradisi ke Beirut pada Jumaat namun isterinya, seorang warga Syria, kekal dalam tahanan di Damsyik.
Pembunuhan Demafelis membangkitkan kemarahan di Filipina dan menyebabkan Presiden Rodrigo Duterte mengenakan larangan terhadap warganya yang merancang untuk bekerja di Kuwait.
Mayat wanita berusia 29 tahun itu ditemui dalam peti sejuk beku di kediaman pasangan itu awal bulan ini, setahun selepas dia dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan pasangan itu meninggalkan Kuwait dan berada di Lubnan buat seketika, sebelum terbang ke Syria.
Pasangan itu jadi buruan Interpol sejak beberapa minggu lalu, sejak kes itu dilaporkan.
Sementara itu, Setiausaha Luar Filipina Alan Peter Cayetano mengalu-alukan penahanan kedua-dua suspek, dan menyifatkannya satu daripada langkah mendapatkan pembelaan ke atas kematian Demafalis.
Mayat amah berkenaan ditemui dengan kesan diseksa, dalam pangsapuri yang dipercayai telah dikosongkan sejak setahun lalu.
Penemuan itu menyebabkan pihak berkuasa Filipina memanggil pulang lebih 1,000 pekerjanya di Kuwait, yang dikatakan dalam tekanan, dengan majoritinya bekerja sebagai pembantu rumah.
Negara itu menganggarkan 252,000 warga Filipina tinggal dan bekerja di Kuwait.
Pihak berkuasa Kuwait dalam pada itu berikrar melakukan segala yang perlu untuk menegakkan keadilan untuk mangsa.
#amah #dera #Filipina #hilang #Interpol #Kuwait #majikan #mangsa #mati #peti sejuk beku #suspek #Syria
;