Stres akibat pandemik, lelaki terjun tasik setiap hari
Agensi
Jun 19, 2021 19:35 MYT
Jun 19, 2021 19:35 MYT
CHICAGO: Setiap individu mungkin mempunyai cara tersendiri untuk menghilangkan tekanan atau stres sewaktu mengharungi pandemik COVID-19 dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
Namun bagi seorang lelaki yang berasal dari Chicago, Amerika Syarikat ini, dia mempunyai cara agak luar biasa untuk menghilangkan tekanan yang dialaminya.
Dan O’Conor, memilih untuk terjun ke dalam Tasik Michigan setiap hari sejak 365 hari yang lalu dan ya, memang sudah genap setahun dia melakukan aktiviti itu.
O’Conor memaklumkan bahawa dia memulakan aktiviti terjun ke dalam tasik di Pelabuhan Montrose tahun lalu.
"Itu adalah sewaktu pandemik COVID-19, ketika berlakunya banyak protes, dan tahun pilihan raya. Maka saya memilih untuk terjun ke dalam tasik kerana saya ingin menghindari kekecohan atau suasana bising dan hanya ingin bersendiran di dalam tasik," kata bapa kepada tiga anak itu.
Lebih ekstrem lagi apabila O'Conor pernah melakukannya pada musim sejuk iaitu sewaktu tasik Michigan membeku.
Malah dia dikatakan sanggup menebuk lubang dengan memotong permukaan ais untuk terjun ke dalam tasik.
Biarpun berjaya, O'Conor tetap mengalami kecederaan iaitu mengalami 20 kesan calar pada badannya selepas menyelam.
Namun, apabila genap setahun O’Conor membuat terjunan tersebut, dia mengakui berasa sangat hebat dan mendakwa apa yang dibuatnya itu banyak memberikan manfaat kepadanya.