Stockwell Six: Tiga tertuduh bebas selepas 50 tahun dipenjara secara salah
Astro Awani
Julai 7, 2021 13:58 MYT
Julai 7, 2021 13:58 MYT
LONDON: Tiga lelaki yang dipenjarakan hampir 50 tahun lalu dibebaskan setelah mahkamah membatalkan penghakiman ke atas mereka.
Courtney Harriot, Paul Green dan Cleveland Davidson ditangkap dan didakwa atas tuduhan merompak seorang anggota polis.
Mereka kemudian dijatuhi hukuman penjara berdasarkan bukti palsu daripada pegawai Polis Pengangkutan Britain (BTP) Derek Ridgewell.
Ketiga-tiga mereka bersama tiga yang lain yang diberi jolokan "Stockwell Six", berusia di antara 17 dan 20 tahun semasa ditahan ketika meninggalkan stesen Stockwell pada tahun 1972.
Ridgewell mendakwa mereka cuba merompaknya, sebelum dia berjaya menangkap tertuduh dengan bantuan anggota polis preman.
Walaupun keenam-enam mereka mengaku tidak bersalah, lima daripadanya telah disabitkan dan dihantar ke pusat tahanan juvana.
Tertuduh keenam Everet Mullins walau bagaimanapun dibebaskan.
Dua tertuduh kes Stockwell Six yang disabitkan, Texo Joseph Johnson dan Ronald De'Souza, masih belum dapat dikesan.
Bercakap di luar Mahkamah Tinggi di London, Davidson berkata kes itu telah "merosakkan" hidupnya.
"Ini bukti bahawa kami tidak bersalah pada waktu itu.
"Kami masih remaja ketika itu, kami tidak lakukan apa-apa," kata Davidson.
Davidson mendakwa Ridgewell seorang pegawai polis korup dan jahat.
"Kami tidak tahu berapa ramai lagi yang dikaitkan dengan Ridgewell... ia tidak berkesudahan," kata Davidson.
Ridgewell dilapor terlibat dalam beberapa kes berprofil tinggi dan kontroversi pada awal tahun 1970-an.
Dia kemudian dipindahkan ke jabatan yang menyiasat kes kecurian beg surat, di mana dia berkomplot dengan dua penjenayah.
Ridgewell akhirnya ditangkap dan dipenjara selama tujuh tahun.
Ridgewell meninggal akibat serangan jantung di penjara pada tahun 1982 pada usia 37 tahun.
Suruhanjaya Kajian Kes Jenayah (CCRC) yang merujuk sabitan kes itu ke Mahkamah Rayuan berkata amat malang sekali kes terpaksa mengambil masa hampir 50 tahun untuk membetulkan ketidakadilan yang dialami mereka.
Kes Stockwell Six adalah kali ketiga penghakiman melibatkan Ridgewell dibatalkan di Mahkamah Rayuan.
#Stockwell Six
#penghakiman dibatalkan
#Courtney Harriot
#Paul Green
#Cleveland Davidson
#Mahkamah Rayuan
#Everet Mullins
#Texo Joseph Johnson
#Ronald De'Souza