Stesen TV Jerman siar sembahyang raya buat kali pertama

Agensi
Julai 17, 2015 09:54 MYT
Stesen televisyen di Jerman menyiarkan sembahyang hari raya buat pertama kali dalam sejarah negara itu. - Gambar Hiasan
Sebuah stesen televisyen yang beroperasi di Jerman menyiarkan sembahyang raya buat pertama kali dalam sejarah negara itu.
Upacara sembahyang Hari Raya Aidilfitri disiarkan secara langsung dari Masjid Penzberg yang terletak di bandar berdekatan Munich menerusi saluran televisyen awam serta siaran radio Bayerischen Rundfunk.
Pendakwah utama masjid, Benjamin Idriz menyatakan perkara itu boleh dianggap sebagai salah satu lembaran bersejarah buat komuniti Islam di Jerman.
Siaran itu adalah sebahagian daripada liputan selama dua jam mengenai perayaan umat Islam yang merangkumi khutbah, penceritaan kitab al-Quran, zikir agama serta ucapan-ucapan dari penganut Kristian Katolik dan paderi protestan.
Sembahyang hari raya yang berlangsung pada pukul 4:45 pagi waktu tempatan itu turut diketuai Benjamin yang mengimamkan hampir 1,000 pengunjung.
Menurut pendakwah berusia 43 tahun itu, kemunculan puak pelampau seperti militan IS telah menambah tekanan psikologi ke atas umat Islam di Jerman.
“Penyiaran program Hari Raya dapat membantu masyarakat Islam berasa lebih diterima serta menjadi sebahagian daripada negara Jerman,” ujarnya.
Dua minggu lalu, Canselor Angela Merkel mewakili kerajaan Jerman menghadiri sebuah majlis berbuka puasa. Ketika majlis sedang berjalan, beliau menyifatkan Islam ‘adalah sebahagian daripada Jerman’.
#Hari Raya Aidilfitri #Jerman #sembahyang #siaran TV