Stesen TV dikecam beri kardigan kepada penyampai cuaca pakai gaun tidak berlengan
Kohilah Sekaran
Mei 17, 2016 16:08 MYT
Mei 17, 2016 16:08 MYT
SEBUAH stesen televisyen yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat menerima kritikan hebat selepas salah seorang penyampai wanita diberi baju kardigan untuk menutup pakaiannya ketika bersiaran langsung pada Ahad lalu.
Laporan kaji cuaca yang disiarkan secara langsung oleh pengacara Liberte Chan diganggu oleh pembaca berita utama stesen TV, KTLA 5, Chris Burrous apabila dia menyerahkan Chan sehelai kardigan berwarna kelabu untuk dipakai.
Apabila Chan bertanya kenapa dia dipaksa untuk memakai kardigan tersebut, salah seorang kakitangan yang berada di belakang kamera berkata, “Kita sedang menerima banyak e-mel.”
Difahamkan, stesen TV itu telah menerima banyak aduan berkenaan pakaian yang dikenakan oleh pengacara pada hari itu.
Chan dilihat memakai gaun berwarna hitam yang tidak berlengan.
Menurut pengadu, pakaian yang dipakai oleh Chan tidak sesuai untuk siaran langsung berita.
Penyampai laporan cuaca itu kemudian memakai kardigan tersebut dan meghabiskan laporan cuacanya.
Menerusi laman Twitternya, Chan berkata dia pada mulanya memakai pakaian yang lain. Namun dia terpaksa menukar kerana gaun bercorak itu tidak sesuai untuk latar belakang studio mereka.
Susulan itu, netizen mengecam tindakan stesen TV itu dan menunjukkan sokongan kepada Chan menerusi hashtag #righttobarearms dan #IstandwithLiberteChan.
Insiden itu dilihat tidak profesional dan netizen berpendapat tindakan pihak produksi itu sebagai memalukan wanita terbabit.
Mereka turut menggesa stesen TV itu untuk memohon maaf kepada Chan secara terbuka.