Stesen televisyen Palestin diserang, perkakasan penyiaran dirosakkan

Agensi
Januari 4, 2019 05:25 MYT
Pasukan penyiasat memeriksa keadaan kerosakan di dalam pejabat stesen penyiaran Palestin TV. - Reuters
Stesen penyiaran Palestin TV milik Presiden Mahmoud Abbas di Gaza diserang dan digeledah pada Jumaat, sekali gus meningkatkan ketegangan antara pihak berkuasa Palestin dengan gerakan Hamas yang menguasai kawasan itu.
Pengarah pejabat penyiaran itu, Rafat Al-Qidra, berkata lima lelaki memecah masuk ke dalam premis itu pada awal Jumaat dan memusnahkan perkakasan seperti kamera dan mesin suntingan serta aset penyiaran lain yang bernilai AS$150,000.
“Sesiapa yang menguasai Gaza sepatutnya mampu melindungi semua orang di sini,” tegas Qidra.
Stesen itu menyiarkan kandungan yang menyokong pentadbiran Abbas, yang kuasanya berpangkalan di Tebing Barat. Sumber rasmi stesen itu menuding jari ke atas Hamas atas kejadian serangan tersebut.
"Hamas pasti terlibat dalam konspirasi ini,” kata Pengerusi Perbadanan Penyiaran Palestin (PBC), Ahmed Assaf, di Ramallah.
PBC mengeluarkan kenyataan yang memberitahu serangan itu adalah petanda jelas mengenai mentaliti pergerakan Hamas dan geng jenayah yang hanya percaya pada pandangan mereka, dan menyekat kebebasan.
Bagaimanapun, baik Assaf mahupun PBC menunjukkan bukti atas dakwaan tersebut, manakala sumber rasmi Hamas hanya mengecam insiden itu secara ringkas.
"Apa yang berlaku memang tidak boleh diterima, dan kami mengutuk insiden berkenaan,” ujar Menteri Luar Hamas, Eyad Al-Bozom dalam satu kenyataan, yang juga menggesa pihak pengurusan stesen penyiaran itu berkerjasama dengan pasukan penyiasat.
Perbalahan sudah lama berlaku antara Hamas dengan Fatah yang dinaungi Abbas, selain menentang sebarang usaha rundingan keamanan dengan Israel.
Stesen televisyen tersebut hanya mampu menyambung operasi dari Gaza, pada lewat hari yang sama. Serangan itu dikutuk secara besar-besaran oleh pecahan p[olitik Palestin dan kumpulan wartawan.
#fatah #Gaza #Hamas #Mahmoud Abbas #Palestin #PBC #serangan #Stesen Televisyen
;