Stesen kereta api Nigeria Selatan diserang pengganas, 31 penumpang diculik

Faida Rahim
Januari 9, 2023 12:38 MYT
Sekurang-kurangnya 31 penumpang dilapor diculik pengganas yang menyerang sebuah stesen kereta api di Edo, Nigeria Selatan, pada Ahad. -Twitter@Ipob_supporters
ABUJA: Sekurang-kurangnya 31 penumpang dilaporkan diculik pengganas yang menyerang sebuah stesen kereta api di Edo, Nigeria Selatan, pada Ahad.
Memetik laporan Premium Times, Pesuruhjaya Komunikasi dan Orientasi Edo, Chris Nehikhare mengesahkan 31 penumpang dibawa lari pengganas dalam serangan di Stesen Kereta Api Igueben.
Kumpulan pengganas dikatakan menyerang penumpang yang sedang menunggu kereta api dari Igueben menuju ke Warri pada jam 4 petang.
Mereka menyerbu platform dan menembak secara rawak sebelum menculik penumpang sehingga menyebabkan ramai tercedera, lapor Agensi Berita Nigeria (NAN).
Polis berkata serangan dilakukan oleh suspek dipercayai kumpulan penggembala.
"Beberapa lelaki bersenjata muncul dengan kenderaan sekitar jam 4 petang, dan mula melepaskan tembakan secara spontan, menculik 32 orang manakala ramai lagi cedera.
"Mereka datang dengan kereta tetapi membawa mangsa masuk ke dalam semak dengan berjalan kaki," kata jurucakap polis.
Seorang penumpang yang diculik walau bagaimanapun berjaya melarikan diri, manakala polis berjaya menahan seorang daripada suspek.
"Sukacita kami umumkan seorang suspek telah ditahan.
"Kami ucapkan tahniah kepada polis dan pihak pasukan keselamatan Edo dalam kejadian yang jelas melanggar keselamatan negara ini.
"Kerajaan Negeri Edo bersimpati dengan mangsa dan berharap kejadian sebegini tidak berulang lagi di negeri ini," kata Nehiikhare.
#Chris Nehikhare #kes culik Igueben #serangan pengganas #Stesen Kereta Api Igueben Nigeria
;