Stephen Hawking, jutawan Rusia umum rancangan jelajah Alpha Centauri
AFP
April 13, 2016 10:28 MYT
April 13, 2016 10:28 MYT
Pelabur jutawan Rusia Yuri Milner dan ahli kosmologi British Stephen Hawking mengumumkan inisiatif untuk menjelajah ke Alpha Centauri, bintang paling hampir dengan bumi.
Milner dan Hawking sedang menerajui pasukan saintis bergelar ‘Breakthrough Starshot’ yang berusaha untuk mewujudkan kumpulan kapal angkasa kompak dan ringan atau lebih dikenali sebagai ‘nanocraft’.
Matlamat projek ini adalah untuk menghantar kapal angkasa mini yang digerakkan oleh kuasa cahaya ke Alpha Centauri yang terletak 25 trilion batu dari Bumi.
Saiz kapal angkasa ini hampir sama dengan telefon bimbit.
Mereka menganggarkan ia akan mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk mencapai sistem bintang, lebih cepat daripada kapal angkasa terpantas yang mengambil masa 30,000 tahun untuk berbuat demikian.
“Perjalanan ke angkasa lepas, seperti yang kita tahu adalah perlahan. Bagaimana kita pergi lebih cepat dan lebih jauh? Bagaimana kita membuat lonjakan besar ini?
“Buat kali pertama dalam sejarah, kita boleh melakukan lebih daripada sekadar melihat bintang-bintang. Kita kini boleh mencapainya,” kata Milner dalam satu sidang media di Manhattan.
Milner berkata beliau akan menyumbang AS$100 juta daripada poketnya sendiri untuk projek itu yang dianggarkan bernilai $10 bilion.
Milner, Hawking dan pengasas Facebook Mark Zuckerberg akan mengetuai projek tersebut.