Status calon EU untuk Ukraine satu langkah bersejarah - PM Itali

Bernama
Jun 25, 2022 14:26 MYT
Mario Draghi berkata langkah itu juga penting untuk seluruh Eropah dan Ukraine.
ROM: Perdana Menteri Itali pada Jumaat berkata pemberian status calon Kesatuan Eropah (EU) kepada Ukraine adalah satu langkah bersejarah dan penting.
Mario Draghi berkata langkah itu juga penting untuk seluruh Eropah dan Ukraine.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sidang kemuncak Pemimpin EU selama dua hari di Brussels, lapor Agensi Anadolu.
Katanya, Itali adalah negara pertama yang menyokong proses penyertaan EU bagi negara-negara Balkan Barat dan Rom percaya Albania harus meneruskan rundingan secara bersendirian sekiranya timbul masalah untuk Macedonia Utara semasa proses keahliannya.
Serbia kini terlibat dalam perbincangan dengan EU, manakala rundingan blok itu dengan Macedonia Utara dan Albania telah ditangguhkan sejak 2020.
Pemimpin Eropah memberikan status calon kepada Ukraine pada Khamis, satu langkah bersejarah yang membuka jalan bagi keanggotaan EU untuk negara yang dilanda perang itu.
Selain itu, pemimpin EU turut meluluskan status calon Moldova dan mengumumkan Georgia juga akan diberikan status yang sama selepas ia memenuhi syarat tertentu.
-- BERNAMA
#Ukraine #Kesatuan Eropah #PM Itali #Mario Draghi
;