Standard and Poor's disaman kerajaan AS

Astro Awani
Februari 6, 2013 17:42 MYT
Standard and Poor's (S&P) menjadi mangsa saman sulung kerajaan Amerika Syarikat pasca krisis kewangan 2008.
Firma penarafan itu akan menghadapi pertuduhan menganjur skim untuk menipu pelabur oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Satu saman awam telah difail terhadap firma penarafan terkenal itu oleh peguam Negara, Eric Holder yang menyifatkan tindak tanduk penarafan bon cagaran oleh S&P menjadi pencetus krisis kewangan.
Tindakan menyaman ini adalah langkah undang-undang yang pertama dikenakan terhadap mana-mana firma penarafan ekoran krisis kewangan lalu.
Pada awal 2007, sewaktu bibit-bibit krisis mula timbul, S&P berserta firma penarafan yang lain secara rutin digunakan oleh bank pelaburan untuk mengiktiraf kebolehpasaran produk pelaburan yang dinamakan Collaterised Debt Obligations (CDO).
CDO adalah instrumen kewangan kompleks yang ditawarkan kepada pembeli rumah di Amerika Syarikat.
Krisis tercetus apabila pasaran perumahan merudum dengan harga rumah jatuh mendadak.
Sementara itu, S&P telah menyahut tindakan itu dengan kenyataan bahawa saman tersebut tidak berasas.
Ekoran tindakan saman itu, harga saham McGraw Hill, pemilik S&P di bursa saham Wall Street merudum 13.8 peratus pada dagangan Isnin berikutan pengumuman tindakan saman tersebut.
Harganya jatuh lagi 10.7 peratus pada Selasa sejurus butiran saman diumum oleh Jabatan Kehakiman.
#disaman #krisis kewangan 2008 #Standard and Poors
;