Stadium Kanjuruhan bakal dirobohkan

Agensi
Oktober 18, 2022 23:31 MYT
Presiden Joko Widodo, berkata Stadium Kanjuruhan di Malang itu akan dibina semula mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh badan induk sukan FIFA. - Foto AP
INDONESIA merancang untuk merobohkan Stadium Kanjuruhan yang menjadi menjadi saksi kepada ratusan nyawa peminat bola sepak terkorban dan ratusan cedera dalam kejadian rempuhan pada awal Oktober.
Presiden Joko Widodo, berkata Stadium Kanjuruhan di Malang itu akan dibina semula mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh badan induk sukan FIFA.
Beliau berkata negara mesti "mengubah secara menyeluruh" cara ia menguruskan penganjuran sukan itu.
Jokowi membuat pengumuman itu selepas bertemu Presiden FIFA Gianni Infantino pada awal Selasa.
Indonesia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun pada 2023, dan republik itu bersetuju untuk membentuk pasukan petugas bersama menjelang acara itu.
Bercakap sewaktu pertemuan bersama Jokowi, Infantino berkata adalah penting bagi peminat yang menghadiri kejohanan itu diberikan persekitaran yang selamat.
“Ini adalah sebuah negara bola sepak, sebuah negara di mana bola sepak adalah minat untuk lebih 100 juta orang,” katanya.
Pada 1 Oktober, peminat bola sepak terperangkap dalam serangan gas pemedih mata ketika mereka cuba meninggalkan stadium Kanjuruhan selepas kekalahan pasukan tuan rumah Arema FC oleh Persebaya Surabaya.
Enam orang, termasuk pegawai polis dan penganjur, menghadapi pertuduhan jenayah atas kejadian yang mengorbankan 133 nyawa sekali gus menjadi salah satu bencana stadium terburuk di dunia.
#Joko Widodo #Stadium Kanjuruhan #FIFA #Stadium Kanjuruhan bakal dirobohkan
;