Sri Mulyani diiktiraf Menteri Terbaik di Dunia
Astro Awani
Februari 12, 2018 22:48 MYT
Februari 12, 2018 22:48 MYT
MENTERI Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dinobat sebagai Menteri Terbaik di Dunia.
Menurut laporan Asian Correspondent, penganugerahan itu susulan peranannya yang bertanggungjawab dalam membantu menerajui bajet ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shaikh Mohammad Rashid Al Maktoum menyampaikan anugerah tersebut pada Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia keenam di Dubai, pada Ahad.
"Di bawah mandat beliau, Indonesia mencapai hasil ketara dalam mengurangkan kemiskinan, meningkatkan taraf hidup, mengurangkan hutang awam dan meningkatkan ketelusan transaksi awam," menurut jawatankuasa penganugerahan.
Selain itu, Sri Mulyani turut diiktiraf atas usaha beliau memerangi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam kerajaan.
Sri Mulyani memegang jawatan Menteri Kewangan Indonesia sejak 2016 di bawah pemerintahan Presiden Joko Widodo atau Jokowi dan merupakan bekas Pengarah Urusan Bank Dunia.
Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan dari tahun 2005 hingga 2010 dan mendapat penghargaan atas tanggungjawab mengemudi Indonesia dengan baik walaupun berdepan krisis kewangan global.
Dalam satu video dimuat naik di laman sosial Facebook, Sri Mulyani turut mendedikasikan anugerah itu kepada kepimpinan Jokowi, rakyat Indonesia dan 78,000 kakitangan kementeriannya.
"Saya berharap anugerah ini dapat memberi motivasi kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam menyediakan generasi muda dengan perkembangan dunia dan kemajuan teknologi yang pantas," ujarnya.
#Joko Widodo
#Jokowi
#Menteri Kewangan Indonesia
#Perdana Menteri UAE
#Rasuah
#Shaikh Mohammad Rashid Al Maktoum
#Sri Mulyani Indrawati