Sri Lanka larang pemakaian burqa, tutup lebih 1,000 sekolah Islam
Astro Awani
Mac 13, 2021 06:52 MYT
Mac 13, 2021 06:52 MYT
COLOMBO: Sri Lanka akan melarang pemakaian burqa dan menutup lebih daripada 1,000 sekolah aliran agama Islam.
Tindakan itu sekaligus menjejaskan golongan minoriti Muslim di negara itu.
Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera berkata, beliau tandatangan surat kelulusan kabinet melarang pemakaian burqa oleh wanita Islam dengan alasan keselamatan negara.
Dakwanya tindakan memakai burqa dianggap ekstremisme agama.
Pemakaian burqa di negara beragama Buddha itu dilarang untuk sementara waktu pada 2019 setelah berlaku pengeboman gereja dan hotel oleh kumpulan militan yang meragut lebih daripada 250 nyawa.
Pada akhir tahun itu, Gotabaya Rajapaksa, terpilih sebagai presiden setelah menjanjikan tindakan keras terhadap ekstremisme.
Weerasekera menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk melarang lebih daripada 1,000 sekolah pondok dan madrasah, yang menurutnya, melanggar dasar pendidikan kebangsaan.
Tindakan pemerintah terhadap burqa dan sekolah aliran agama Islam ini tidak berbeza dengan perintah dikeluarkan tahun lalu.
Antara lain, pada 2020, kerajaan mewajibkan pembakaran mayat mangsa COVID-19 sekaligus bertentangan dengan Islam yang menguburkan jenazah mereka yang meninggal dunia.
Perintah itu dibatalkan awal tahun ini selepas dikritik Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.