Sri Lanka capai perjanjian penyusunan semula hutang

Astro Awani
Jun 27, 2024 08:45 MYT
Orang ramai menyaksikan ucapan Wickremesinghe di skrin gergasi di Colombo. - Foto REUTERS
COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, mengumumkan perjanjian penyusunan semula hutang dengan negara-negara termasuk India, Perancis, Jepun dan China.
Perjanjian ini menandakan langkah penting dalam pemulihan ekonomi negara selepas gagal membayar balik hutang pada tahun 2022.
Sri Lanka berada di bawah Program Bantuan Kewangan, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan perjanjian penstrukturan semula hutang ini dijangka akan membuka semula pintu kepada transaksi dua hala dan penyambungan semula projek-projek asing yang terhenti ketika negara pulau itu gagal membayar hutang.
"Dengan perjanjian-perjanjian ini, kami akan dapat menangguhkan semua pembayaran ansuran pinjaman dua hala sehingga tahun 2028.
"Selain itu, kami akan mempunyai peluang untuk membayar balik semua pinjaman dengan syarat konsesi, dengan tempoh lanjutan sehingga tahun 2043.
"Pada tahun 2023, kami berjaya menyelesaikan penyusunan semula hutang domestik. Kini, kami juga telah berjaya menyelesaikan penyusunan semula hutang dua hala dengan negara-negara asing.
"Objektif kami seterusnya adalah untuk mencapai perjanjian dengan pemiutang komersial, yang termasuk pemegang Bon Kedaulatan Antarabangsa (ISB).
"Dengan meneruskan laluan semasa kami, kami yakin bahawa kami dapat mencapai perjanjian ini, dan perbincangan sedang berjalan," katanya.
Sri Lanka mengisytiharkan muflis pada April 2022 dan menggantung pembayaran balik pinjaman domestik dan asing bernilai kira-kira AS$83 bilion.
Ia berlaku di tengah-tengah krisis pertukaran asing yang kritikal yang menyebabkan kekurangan barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, bahan api dan gas memasak, serta pemotongan kuasa selama berjam-jam.
Krisis Sri Lanka, sebahagian besarnya disebabkan oleh salah urus ekonomi yang mengejutkan digabungkan dengan kesan pandemik, ditambah dengan serangan keganasan pada tahun 2019 yang memusnahkan industri pelancongan pentingnya.
Penyokong Wickremesinghe menyaksikan ucapan itu di skrin gergasi di ibu kota Colombo dan meraikan pengumuman itu dengan menyalakan mercun.
Kekacauan ekonomi menyebabkan krisis politik yang memaksa bekas Presiden Gotabaya Rajapaksa untuk meletakkan jawatan pada tahun 2022.
Parlimen kemudiannya memilih Wickremesinghe sebagai Presiden.
#penyusunan semula hutang #IMF #perjanjian #Ranil Wickremesinghe
;