Sri Lanka berdepan krisis bahan api

Astro Awani
Mac 25, 2022 05:30 MYT
Krisis kewangan yang dihadapi Sri Lanka menyebabkan negara itu kini berdepan kekurangan bekalan bahan api petroleum. - Foto REUTERS
COLOMBO: Krisis kewangan yang dihadapi Sri Lanka menyebabkan negara itu kini berdepan kekurangan bekalan bahan api petroleum.
Susulan itu, penduduk negara itu terpaksa beralih kepada minyak kerosin bagi memenuhi keperluan memasak di rumah.
Di Colombo, kebanyakan penduduk terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan bekalan minyak kerosin yang menjadi keperluan mendesak buat masa ini.
Kerajaan Sri Lanka ketika ini terpaksa mengurangkan bekalan bahan api petroleum untuk orang ramai susulan krisis kewangan yang semakin meruncing.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Awam Sri Lanka, Janaka Ratnayake, krisis kekurangan bahan api itu bagaimanapun buat masa ini tidak menyebabkan krisis bekalan elektrik.
Rizab asing yang berkurangan menyebabkan Sri Lanka menghadapi krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad ini.
Dalam masa sama, kejatuhan mata wang juga telah menghalang import bahan api dan keperluan lain dari luar negara, termasuk susu tepung, gas petroleum cecair dan petrol.
Sebahagian stesen minyak juga terpaksa menutup operasi susulan tidak mendapat bekalan minyak dan gas.
Dalam masa sama, pandemik COVID-19 memburukkan lagi keadaan terutama dalam industri pelancongan dan perdagangan Sri Lanka.
Negara itu telah mengalami kerugian kira-kira 14 bilion dolar AS dalam tempoh dua tahun pandemik.
Setakat ini, hutang obligasi asing Sri Lanka melebihi 7 bilion dolar.
#ekonomi #krisis #bahan api #petrol
;