Sri Lanka akan dakwa 10 nelayan India atas kematian kelasi tentera laut

Bernama
Jun 27, 2024 04:20 MYT
Tentera Laut Sri Lanka dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, nelayan terlibat akan didakwa atas tuduhan menangkap ikan secara haram di perairan Sri Lanka dan menyebabkan kematian seorang anggota tentera laut.
NEW DELHI: Sri Lanka akan mendakwa 10 nelayan India yang ditahan berhubung seorang kelasi tentera laut yang meninggal dunia selepas terlibat dalam operasi merampas bot pukat tunda mereka yang menceroboh perairan Sri Lanka.
Tentera Laut Sri Lanka merampas bot pukat tunda itu di luar Kankasanthurai di Wilayah Jaffna di utara negara itu pada 25 Jun dan menahan nelayan terlibat.
"Semasa operasi ini, seorang kelasi kanan dari Skuadron Bot Khas Tentera Laut mengalami kecederaan kritikal akibat pengemudian agresif bot pukat tunda India yang cuba menghalang rampasan.
"Malangnya, kelasi kanan itu meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Pelatih Perubatan, Jaffna," kata Tentera Laut Sri Lanka dalam satu kenyataan pada Rabu.
Nelayan terlibat akan didakwa atas tuduhan "menangkap ikan secara haram di perairan Sri Lanka, menyebabkan kematian seorang anggota tentera laut semasa operasi dan kerosakan kepada harta tentera laut," katanya.
-- BERNAMA
#Sri Lanka #nelayan India #kelasi tentera laut meninggal dunia #ceroboh perairan
;