SPR Thailand gesa PRU ditangguh berikutan keganasan

Bernama
Disember 26, 2013 07:00 MYT
Reaksi penunjuk perasaan di Stadium Thai-Jepun, Dindaeing iaitu lokasi proses pendaftaran bagi pilihan raya umum Thailand setelah polis melepaskan gas pemedih mata. -- fotoBERNAMA
Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menggesa pilihan raya umum yang ditetapkan pada 2 Feb ini ditangguh selepas konfrontasi ganas antara polis antirusuhan dan penunjuk perasaan yang menuntut agar pilihan raya itu diboikot, sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai polis.
Pesuruhjaya SPR Somchai Srisuthiyakorn berkata pilihan raya umum itu patut ditangguh sehingga semua pihak yang terbabit dalam konflik menyelesaikan pertikaian mereka.
Konfrontasi ganas di pusat pendaftaran pilihan raya di stadium Thai-Jepun itu memaksa pegawai SPR dipindah menggunakan helikopter manakala wakil parti politik oleh van selepas mereka selesai merumuskan nombor senarai parti yang bertanding pada pilihan raya umum di kertas undi.
Polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata, peluru kapur dan penyembur air terhadap penunjuk perasaan sejak 7 pagi.
Para pegawai mengesahkan seorang anggota polis mati selepas ditembak.
Jumlah mangsa yang cedera setakat 2 petang ini ialah 61 orang, dan mereka menerima rawatan di tujuh hospital.
Satu lagi keganasan dilapor berlaku di depan Kementerian Buruh pada sebelah petang dan polis antirusuhan terpaksa menggunakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan.
#pilihan raya thailand #protes Thailand #tunda PRU
;