Spotify umum buang 200 kakitangan podcast
Agensi
Jun 5, 2023 00:35 MYT
Jun 5, 2023 00:35 MYT
STOCKHOLM: Spotify Technology SA mengumumkan akan mengurangkan lagi 200 tenaga kerja unit podcast dalam pusingan kedua penstrukturan syarikat tersebut.
Langkah itu akan memberi kesan kepada kira-kira 2 peratus tenaga kerja syarikat perkhidmatan audio berkenaan sekali gus mengikut jejak langkah Meta dan Roku yang juga mengurangkan tenaga kerja sebagai langkah menghadapai ketidaktentuan ekonomi.
Difahamkan, saham syarikat yang berpangkalan di Sweden itu mengalami peningkatan kira-kira 0.5 peratus pada dagangan awal, mengatasi prestasi pasaran yang lebih luas.
Dalam pada itu, Spotify turut membelanjakan secara agresif untuk membina perniagaan podcast beberapa tahun kebelakangan ini seterusnya berharap dapat membawa masuk lebih ramai pengiklan.
Namun, ia mengakibatkan peningkatan pesat dalam perbelanjaan operasi syarikat yang meningkat dua kali ganda daripada pendapatan pada tahun lepas.
Kadar faedah yang meningkat serta inflasi tinggi membawa kepada pengurangan perbelanjaan dalam iklan.
Januari lalu, Spotify mengumumkan pengurangan tenaga kerja iaitu sekitar 6 peratus pekerja sepenuh masa.
Secara kasarnya, ia memberi kesan kepada hampir 600 orang pekerja Spotify.