'Spiderman' Turki bantu warga emas terjejas, warga tempatan gembira dengan 'adiwira' baharu
Agensi
April 20, 2020 16:53 MYT
April 20, 2020 16:53 MYT
Warga emas di Antalya, Turki kini tidak perlu bimbang untuk mendapatkan bekalan makanan sepanjang berdepan pandemik COVID-19.
Ini kerana, lelaki berperawakan seperti adiwira popular, Spiderman bersedia membantu penduduk di situ bagi mendapatkan barangan runcit selain membantu menguruskan urusan di luar rumah.
Usaha murni seorang pemuda dikenali Burak Soylu itu mendapat perhatian apabila dia meluangkan masanya untuk berbakti kepada kumpulan warga emas yang berusia lebih 65 tahun.
“Saya cuba untuk membantu mereka yang berusia lebih 65 tahun dalam apa jua cara seperti membayarkan bil dan membelikan barangan runcit untuk mereka.
“Kadang kala saya akan memandu, kadang-kadang memanjat untuk melawat mereka rumah ke rumah,” lapor Soylu kepada agensi berita Anadolu.
Memakai sepasang kostum watak komik adiwira 'Spiderman', Soylu turut membantu pekebun-pekebun di situ memetik buah-buahan dan sayur-sayuran di ladang mereka.
Jelasnya, dia bertindak demikian dengan harapan dapat menggalakkan warga emas supaya mereka kekal duduk di rumah ekoran melihat situasi pandemik COVID-19 semakin kritikal.
Penduduk tempatan di situ, dalam masa sama, amat bergembira dengan kehadiran Soylu yang menganggapnya sebagai ‘adiwira’ baharu mereka.
Difahamkan, Turki mengenakan larangan keluar rumah kepada rakyat yang berumur 65 tahun ke atas dan 20 tahun ke bawah.
Ia susulan arahan dikeluarkan oleh Presidennya, Tayyip Erdogan dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Untuk rekod, di Turki, sebanyak 86,306 kes jangkitan dilaporkan menjadikan angka korban akibat virus itu di negara itu sebanyak 2,017 kes setakat Isnin.