'Spiderman' Perancis buat hal lagi

Reuters
Mac 14, 2018 06:09 MYT
Alain Robert, atau lebih dikenali sebagai 'French Spiderman' kerana hobinya memanjat mercu tanda terkenal di seluruh dunia, ulangi aksi sama, walaupun kini sudah berusia 55 tahun.
Menara terbaru yang didaki adalah menara keempat tertinggi di daerah perniagaan Paris, selepas berjaya mengelak pihak keselamatan.
Hobi yang bermula 11 tahun lalu, telah menyaksikan Robert memanjat 150 menara mercu tanda di seluruh dunia.
Ini termasuk menara Burj Khalifa, Dubai, menara tertinggi di dunia, Menara Eiffel, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Sydney Opera House.
"Ini adalah minat saya. Memanjat adalah salah satu cara hidup saya,"kata Robert.
Dalam aksi terbarunya, Robert hanya mengambil masa satu jam untuk memanjat menara Tour Total setinggi 614 meter.
Dengan hanya menggunakan kasut dan kapur, Robert bergayut dari tingkap dan memanjat sejumlah 48 tingkat, dengan ditemani sorakan petugas di pejabat.
Ini adalah usahanya yang kedua dalam tempoh seminggu.
Pada Rabu, Robert cuba memanjat satu lagi menara di daerah itu, namun usahanya digagalkan pihak keselamatan.
Robert tidak pernah mendapat kebenaran untuk setiap aksinya.
Beliau pernah ditahan beberapa kali kerana tindakannya itu.
Pada 2008, Robert ditahan polis selepas menawan bangunan The New York Times untuk mengibarkan mesej berhubung pemanasan global.
Walaupun begitu, Robert memberi bayangan, minatnya ini tidak akan berhenti.
"Selagi saya mempunyai kekuatan fizikal, saya akan terus memanjat," menurut Robert.
#Alain Robert #Burj Khalifa #KLCC #Menara Eiffel #menara tertinggi #panjat #Spiderman
;