SpiceJet India diarah kurangkan jumlah penerbangan atas faktor keselamatan
Bernama
Julai 27, 2022 07:45 MYT
Julai 27, 2022 07:45 MYT
NEW DELHI: Syarikat penerbangan tambang murah SpiceJet hanya dibenarkan mengendalikan 50 peratus penerbangan selama lapan minggu berikutan beberapa insiden yang melibatkan pesawat milik syarikat itu baru-baru ini.
"Dalam beberapa kejadian sebelum ini, pesawat diarah berpatah balik ke tempat berlepas atau pun mendarat di destinasi dengan tahap keselamatan yang rendah.
"Wujud isu keselamatan dalaman yang tidak dihiraukan serta langkah penyelenggaraan tidak mencukupi sehingga mengakibatkan tahap keselamatan yang rendah," kata Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) pada Rabu.
DGCA tidak berpuas hati dengan jawapan syarikat penerbangan itu ketika diminta memberikan penjelasan berhubung isu keselamatan dan sepanjang tempoh itu SpiceJet akan tertakluk kepada pemantauan yang ketat.
Dalam insiden yang dilaporkan pada Julai, sebuah pesawat SpiceJet melakukan pendaratan kecemasan di Mumbai selepas cermin depan di bahagian luar retak dan satu lagi pesawat terpaksa berpatah balik ke New Delhi selepas asap dikesan di dalam kabin.
Pada 5 Julai pula, pesawat yang dalam penerbangan dari New Delhi ke Dubai melakukan pendaratan kecemasan di bandar Karachi, Pakistan kerana masalah teknikal.
Menurut DGCA kebenaran untuk menambah bilangan penerbangan berlepas melebihi 50 peratus di bawah Jadual Musim Panas 2022 adalah tertakluk kepada kemampuan syarikat menyediakan sokongan teknikal dan sumber kewangan yang mencukupi untuk keselamatan.
-- BERNAMA