Spesies 'rare' zirafah putih kini tinggal seekor sahaja di dunia
Agensi
Mac 11, 2020 15:44 MYT
Mac 11, 2020 15:44 MYT
Dua ekor spesies ‘rare', zirafah putih di Kenya ditemukan mati menjadikan hanya tinggal seekor sahaja di dunia.
Menurut jurucakap konservasi tempatan, Komuniti Konservasi Ishaqbini Hirola, haiwan dari kumpulan haiwan jenis genetik mutasi itu mati akibat ditembak oleh pemburu.
“Zirafah putih betina yang satu-satunya hidup di sini ditemukan mati bersama anaknya selepas ditembak oleh pemburu bersenjata,” kata jurucakap, Mohammed Ahmednoor.
“Kami merupakan satu-satunya komuniti yang memelihara spesies zirafah putih. Pembunuhan ini merupakan satu seruan kepada komuniti supaya usaha pemeliharaan perlu diteruskan,” katanya, seperti dipetik portal berita ABC News.
Dalam pada itu, menurut pakar, zirafah spesies ‘rare’ itu dipercayai mengalami mutasi pada genetik yang dikenali sebagai ‘leucism’ yang disebabkan kehilangan pada sebahagian pigmentasi.
Untuk rekod, Yayasan Hidupan Liar Afrika, menjangkakan sekitar 40 peratus daripada jumlah populasi zirafah telah berkurang sejak tiga dekad lalu.
Selain menjadi kepentingan kepada institut kajian genetik, kewujudan zifarah putih itu juga menyumbang kepada sektor pelancongan di negara itu.
Ia juga pernah menarik perhatian seluruh dunia selepas muncul dalam siri dokumentari haiwan popular pada 2017.