Sperma berusia 17 juta tahun ditemui di Australia

Agensi
Mei 14, 2014 10:38 MYT
Gambar Hiasan
Para saintis Australia melaporkan mereka berjaya menemui sperma haiwan berusia 17 juta tahun, masih elok dan dikatakan paling tua dalam sejarah.
Sperma itu adalah milik sejenis udang kecil dan ditemui di tapak kajian Khazanah Fosil Dunia Riversleigh, ke utara Queensland, Australia, tapak sama yang sebelum ini berjaya menemui pelbagai peninggalan haiwan purba.
Ini termasuk platipus bergigi gergasi dan kanggaru pemakan daging.
Menurut saintis biologi dari Universiti New South Wales, Mike Archer yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang itu, penemuan sperma terbabit adalah sesuatu yang “amat menarik”.
“Ini adalah sperma dalam bentuk fosil paling tua pernah direkodkan dunia geological,” katanya.
Panjang sperma itu dipercayai melebihi saiz seekor udang jantan. Ia dikesan di dalam organ seksual haiwan berkenaan yang digelar “ostracods”.
Kajian mengenai haiwan itu bermula pada tahun 1988 ketika Archer dan pasukannya menemui fosil mengandungi tisu lembut dan menghantar contoh terbabit kepada John Neil, pakar haiwan jenis “ostracods” di University La Trobe yang mendapati fosil terbabit mengandungi tisu lembut.
Penemuan itu kemudiannya telah dikemukakan kepada pakar beberapa negara Eropah dan kajian mikroskopik mendapati sampel tisu terbabit mengandungi organ seksual haiwan berkenaan.
Lebih baik lagi apabila ia turut mengandungi sel kromosom dan DNA.
Penemuan itu kemudiannya diterbitkan di dalam jurnal Proceedings of the Royal Society B, yang turut memaklumkan sperma itu bersaiz 1.3 milimeter, lebih panjang dari saiz udang itu.
#Australia #fosil #saintis #sperma
;