Speaker parlimen Iran beri amaran kepada kerajaan
Astro Awani
Oktober 21, 2013 10:17 MYT
Oktober 21, 2013 10:17 MYT
Kerajaan Iran diingatkan supaya jangan terlalu menurut kehendak Barat berhubung program nuklear negara itu.
Amaran itu dikeluarkan oleh speaker parlimen negara itu Ali Larijani yang melihat barat sebagai keterlaluan dalam memberi tekanan ke atas republik Islam itu.
Tegas Larijani itu dikeluarkan kurang seminggu selepas rundingan Iran dan barat bersambung.
Dalam rundingan berkenaan Iran diketuai menteri luarnya Mohammad Javad Zarif.
Larijani menyifatkan tindakan sebahagian anggota kongres Amerika Syarikat untuk mengetatkan sekatan terhadap Iran sebagai tidak menghormati proses rundingan.
Beliau menegaskan Iran tidak akan sama sekali mengizinkan kuasa dunia untuk melangkaui ketetapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung aktiviti nuklear.
Rundingan pusingan seterusnya dijadual diadakan di Geneva pada 7 hingga 8 November ini.