Speaker Kanada letak jawatan selepas dikecam rai veteran perang Nazi di Parlimen

Agensi
September 26, 2023 06:45 MYT
Speaker Dewan Rakyat Kanada, Anthony Rota mengumumkan peletakkan jawatan selepas mengakui kesilapannya, meraikan veteran perang Ukraine yang telah berjuang dalam unit Nazi semasa Perang Dunia II. - Gambar REUTERS
OTTAWA: Speaker Dewan Rakyat Kanada mengumumkan peletakkan jawatan selepas mengakui kesilapannya, meraikan veteran Ukraine yang telah berjuang dalam unit Nazi semasa Perang Dunia II.
Selepas awalnya menolak gesaan untuk meletakkan jawatan, Anthony Rota akhirnya berbuat demikian pada Selasa selepas bertemu dengan pemimpin parti di Ottawa.
"Saya perlu meletakkan jawatan sebagai Speaker anda," katanya di Parlimen.
"Saya ingin mengulangi penyesalan mendalam saya."
Pada Jumaat lalu, veteran perang Yaroslav Hunka yang berusia 98 tahun, mendapat tepukan gemuruh selepas Rota mengelarnya sebagai "pahlawan" semasa kunjungan Presiden Ukraine, Volodomyr Zelensky.
Tindakan Rota itu menyebabkan beliau dikecam.
Menurut Rota, beliau sama sekali tidak mengetahui pertalian antara Nazi dan Hunka, sambil mengakui kesilapan dengan mengundangnya menghadiri acara tersebut.
Dalam reaksi segera, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyifatkan insiden itu "sangat mengganggu.”
"Ini adalah sesuatu yang sangat memalukan kepada Dewan Rakyat Kanada dan seluruh rakyat Kanada," katanya kepada wartawan pada Isnin.
Nazi merupakan ideologi politik ekstrem yang diperkenalkan di Jerman pada awal abad ke-20.
Parti Nazi yang dipimpin oleh Adolf Hitler, adalah parti politik yang mempromosikan ideologi ini yang sangat kontroversi dan berbahaya serta membawa penderitaan yang besar kepada jutaan orang.
Selama Perang Dunia II, Nazi Jerman terkenal dengan dasar pembunuhan, penindasan dan penaklukan yang sangat kejam.
Semasa perang berkenaan, Hunka berkhidmat dalam 14th Waffen-SS Grenadier Division iaitu sebuah unit sukarela yang ditubuhkan khusus untuk dianggotai oleh etnik Ukraine di bawah penyelarasan komando Nazi.
Anggota unit berkenaan dituduh membunuh warga Poland dan Yahudi, walaupun unit ini tidak pernah dihukum atas sebarang jenayah perang oleh mahkamah.
Pada Selasa pula, Menteri Pendidikan Polandi, Przemysław Czarnek berkata, beliau telah "melakukan langkah " untuk mengekstradisi Hunka.
Sementara menteri-menteri Kabinet Trudeau turut menyertai parti-parti politik yang mendesak Rota meletakkan jawatan beliau.
Beberapa jam sebelum Speaker mengumumkan peletakan jawatannya, Menteri Luar Negeri Kanada, Melanie Joly menegaskan, kesilapan dilakukan Rota "benar-benar tidak boleh diterima".
"Saya rasa Speaker sepatutnya mendengar pandangan ahli-ahli dewan dan meletakkan jawatan. Saya tidak melihat ada pilihan lain," katanya. - Agensi
#Speaker Kanada #letak jawatan #Anthony Rota #rai veteran perang Nazi
;