Speaker Dewan Perwakilan AS gesa siasatan pendakwaan terhadap Biden
Bernama
September 13, 2023 16:29 MYT
September 13, 2023 16:29 MYT
WASHINGTON: Speaker Dewan Perwakilan AS Kevin McCarthy, pada Selasa menggesa untuk membuka siasatan pendakwaan ke atas Presiden Joe Biden, dengan merujuk kepada tuduhan rasuah.
"Saya mengarahkan ahli jawatankuasa Dewan untuk membuka siasatan rasmi pendakwaan terhadap Presiden Joe Biden," kata McCarthy kepada pemberita di Capitol.
McCarthy berkata siasatan Jawatankuasa Pemantauan Dewan menemui "budaya rasuah" dalam kalangan ahli keluarga Biden ketika Republikan menyiasat urusan perniagaan anaknya, Hunter Biden, sebelum presiden itu mula berkhidmat pada 2021.
"Ini adalah tuduhan penyalahgunaan kuasa, halangan dan rasuah, dan ia memerlukan siasatan lanjut oleh Dewan Perwakilan," katanya.
Pemimpin Republikan itu berada di bawah tekanan selama berbulan-bulan untuk membuka siasatan terhadap Biden.
Beberapa anggota Republikan mengancam untuk menggulingkan McCarthy jika beliau gagal bertindak pantas dalam siasatan itu.
Sementara itu, Rumah Putih dan Demokrat mengecam usaha pendakwaan itu sambil ia disifatkan bermotif politik.
"Pihak Republikan telah menjalankan siasatan terhadap presiden selama sembilan bulan, dan mereka tidak mengemukakan sebarang bukti salah laku," kata jurucakap Rumah Putih, Ian Sams di platform X.
"Siasatan pendakwaan tidak sah yang dilancarkan oleh Extreme MAGA Republicans adalah dikesali, melulu dan tercela. Ia bermotifkan balas dendam politik yang tidak mempunyai sebarang asas fakta atau perlembagaan," kata pemimpin Demokrat Hakeem Jeffries di media sosial.
Demokrat akan mempertahankan kebenaran dan menentang pelampau berhaluan kanan setiap masa."
-- BERNAMA