SpaceX lancar roket bawa 105 satelit kecil
Astro Awani
Januari 13, 2022 06:44 MYT
Januari 13, 2022 06:44 MYT
FLORIDA: SpaceX berjaya melancarkan roket Falcon 9 dengan membawa 105 satelit kecil ke ruang angkasa lepas.
Misi Transporter-3 yang bertindak sebagai 'roket pengangkut' ini turut merangkumi pelbagai peralatan angkasa termasuk CubeSat, 'microsat', PocketQube dan kenderaan pemindahan orbit.
Syarikat aeroangkasa milik Elon Musk itu menggunakan roket yang boleh digunakan semula bagi mengangkut kargo ke angkasa lepas.
Malah ia juga boleh digunakan untuk membawa manusia ke Stesen Angkasa Lepas (ISS).
Selepas menghantar muatannya, roket itu kembali ke bumi untuk digunakan pada misi seterusnya.
Ini adalah misi 'pengangkut' ketiga yang dilancarkan SpaceX susulan pelancaran pada Januari dan Jun tahun lalu yang membawa 231 satelit ke orbit.
SpaceX mengumumkan program berkenaan pada 2019 untuk melancarkan tiga pelancaran setahun bagi memenuhi permintaan daripada peningkatan bilangan pengendali satelit kecil.