SpaceX berjaya lancar satelit Starlink ke orbit

Astro Awani
Mac 4, 2021 07:10 MYT
Roket SpaceX Falcon 9 dilancarkan dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, 4 Mac, 2021, membawa 60 satelit Starlink. (Foto AP)
SPACEX, syarikat aero angkasa dimiliki individu terkaya dunia Elon Musk, mengesahkan telah melancarkan 60 satelit Starlink ke orbit.
Pelancaran satelit menggunakan roket dikenali sebagai SpaceX Falcon 9 itu berlangsung di Cape Canaveral di Florida pada pagi Khamis waktu tempatan.
Satelit-satelit yang dibawa kemudiannya dilepaskan ke orbit sejam selepas pelancaran roket ke angkasa.
SpaceX sebelum ini telah melancarkan beberapa roket bagi membawa sejumlah satelit Starlink dalam misi mereka mengembangkan sistem konstelasi internet milik syarikatnya.
Terdahulu pada Rabu, ujian pelancaran prototaip roket Starship SN10 dijalankan di Texas.
Percubaan itu meskipun dilihat berjaya, namun sebenarnya gagal apabila roket berkenaan meletup di landasan pendaratan.
Bukan itu sahaja, dua ujian percubaan sebelum ini juga gagal, apabila kedua-dua roket mendarat seperti bebola api.
#Elon Musk #SpaceX #Starlink #Starship SN10 #orbit #roket
;