Sotong kurita jarang ditemui dilihat di Australia
Agensi
Januari 18, 2022 12:01 MYT
Januari 18, 2022 12:01 MYT
SEORANG ahli biologi marin di Queensland menemui spesies sotong kurita pelangi yang jarang ditemui ketika sedang melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Lady Elliot, Great Barrier Reef.
Penemuan itu disifatkan paling jarang berlaku dan dipercayai hanya tiga penemuan pernah dilakukan sebelum ini.
Jacinta Shackleton yang merupakan ahli biologi marin telah menjalankan penyelidikan di sekitar pulau tersebut selama hampir empat tahun.
“Ketika itu (pada 6 Januari) saya sedang melakukan aktiviti snorkeling, pada awalnya untuk mengkaji dan mencari ikan pari dan penyu.
“Sebaliknya kami menjumpai penemuan yang luar biasa. Pada awalnya kami menyangkakan ia adalah sejenis ikan dengan sirip yang sangat panjang.
“Namun selepas kami mendekati spesies tersebut, ternyata ia merupakan seekor sotong yang berwarna-warni dan menyedari ia merupakan spesies sotong kurita selimut atau 'blanket octopus',” katanya seperti dipetik laporan portal ABC News.
Menerusi perkongsian di Instagram peribadinya, Jacinda turut berkongsikan beberapa keping foto tersebut dan menyifatkan penemuan itu sebagai satu keindahan alam.
Untuk rekod, spesies tersebut sebelum ini pernah ditemui 21 tahun lalu di Ribbon Reefs, berdekatan Cairns.
'Blanket octopus' betina mampu membesar sehingga dua meter, salah satu saiz jantina terbesar dalam dunia marin, manakala jantan hanya membesar sehingga kira-kira 2.4 sentimeter.
Menurut Yayasan Great Barrier Reef, 'blanket octopus' tersebut adalah spesies nomad yang berpindah ke lokasi berbeza setiap beberapa hari dan boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai suhu air.
Haiwan ini adalah karnivor, dengan kebanyakan dietnya daripada ikan yang lebih kecil.