Sotong kurita garang serang lelaki di tepi pantai Australia
Astro Awani
April 2, 2021 09:41 MYT
April 2, 2021 09:41 MYT
SYDNEY: Seorang bekas penyelamat pantai diserang seekor sotong kurita dengan melilit lehernya semasa bercuti dengan keluarga di Australia.
Lance Karlson, 34, sedang bermain bersama anaknya berusia dua tahun di pantai Geographe Bay, Dunsborough apabila dia terlihat sotong tersebut cuba menyerang seekor burung camar.
Karlson menyifatkan haiwan itu sebagai 'sotong kurita paling garang di Geographe Bay'.
"Pada mulanya saya ingat ia seekor ikan pari. Tetapi saya terlihat sesungut kurita apabila ia cuba menyerang burung camar itu," Karlson berkata kepada portal berita Daily Mail Australia.
Semasa Karlson pergi mandi di dalam laut 20 minit kemudian, dia terlihat sotong kurita tersebut sebelum diserang haiwan itu di bahagian leher.
"Saya sedang meneliti beberapa cengkerang di dasar laut apabila diserang sotong kurita itu di bahagian tangan sebelum ia menyerang leher saya.
"Saya bergegas keluar daripada air dan apabila tiba di pantai, saya terlihat kesan sesungut kurita di bahagian leher saya," katanya.
Isteri Karlson bergegas tuang air Coke di bahagian lehernya bagi pertolongan cemas untuk meredakan kesakitan yang dialaminya.
"Ketika itu kami tidak mempunyai cuka atau cecair berasid jadi isteri saya tuang air Coke ke atas saya dan ia sangat membantu melegakan kesakitan," tambahnya.
Karlson tidak dapat menyatakan apa spesis sotong kurita yang ditemuinya namun mensyaki ia sotong kurita tetricus atau lebih dikenali sebagai sotong kurita murung.
Spesis berkenaan ditemui di bahagian barat Australia dan sering menyorok di dalam pasir atau selut.
Ia spesis haiwan karnivor namun tidak berbahaya terhadap manusia.