Sorok empat anak kucing dalam seluar, namun gagal perdaya Imigresen

Agensi
Januari 5, 2019 18:54 MYT
Empat ekor anak kucing yang disorokkan. - Facebook Agri-Food & Veterinary Authority of Singapore (AVA)
Empat ekor anak kucing hidup ditemui dalam seluar seorang lelaki Singapura ketika diperiksa penguatkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA).
Dalam kejadian Rabu lalu, lelaki berusia 45 tahun itu berada dalam sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura di Pusat Pemeriksaan Tuas apabila pegawai bertugas terdengar bunyi mencurigakan dari dalam seluar lelaki itu, menurut ICA dalam entri di Facebook pada Sabtu.
Kes itu kemudiannya dirujuk ke Penguatkuasa Makanan Pertanian dan Veterinar Singapura (AVA).
Dalam entri seterusnya, AVA memaklumkan kesemua anak kucing itu berada di bawah jagaan mereka dan siasatan sedang dijalankan.
"Haiwan yang diseludup tidak diketahui status kesihatannya dan boleh membawa pelbagai penyakit berjangkit, seperti rabies," kata AVA dalam entri itu.
AVA turut menegaskan pengimportan mana-mana haiwan atau burung hidup ke Singapura tanpa lesen adalah haram dan boleh dikenakan denda maksimum sehingga S$10,000 (RM30,000) atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
#anak kucing #haiwan #Imigresen #import #kesihatan #lelaki #penyakit #seludup #Singapura #Tuas Checkpoint
;