Sonny Bill Williams bintang sukan terkini bersuara tentang nasib Uighur
Agensi
Disember 23, 2019 22:20 MYT
Disember 23, 2019 22:20 MYT
Bintang ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams menjadi personaliti sukan terkini yang mengecam tindakan kerajaan China yang menindas minoriti Muslim Uighur dengan bersuara menerusi platform media sosial.
Sebelum ini pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil mengutuk China atas sebab yang sama.
Dalam Twitter Williams, pemain All Blacks itu berkata: "Ia amat menyedihkan apabila kita memilih kepentingan ekonomi berbanding sifat kemanusiaan."
Penegasan itu ditambah dengan imej yang disisipkan iaitu lakaran tangan yang diwarnakan dengan bendera China yang mencengkam tangan lain diwakili bendera ‘Turkestan Timur’ iaitu istilah yang digunakan pemisah Uighur untuk Xinjiang.
'Cengkaman' itu juga terdapat gambaran titisan darah.
Sebelum ini kerajaan China berang dengan kenyataan Ozil, malah Beijing bertindak tidak menyiarkan perlawanan Arsenal menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris menerusi oleh siaran rasmi kerajaan China, CCTV.
Banyak tekanan diberikan ke atas China susulan laporan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia tersebut. Sementara China terus menafikan hal itu berlaku, terdapat juga laporan yang memberikan pandangan bahawa tidak perlu mencampuri urusan dalaman negara itu, atas alasan belum menemui bukti yang cukup kuat.