"Solat Jumaat di Hagley Park buat saya tidak takut lagi" - Pelajar Indonesia
Agensi
Mac 23, 2019 14:33 MYT
Mac 23, 2019 14:33 MYT
Solat Jumaat yang diadakan secara terbuka buat julung kalinya di Hagley Park, Christchurch, New Zealand pada Jumaat sekali gus mengubah persepsi seorang penuntut dari Indonesia, Ibnu Sitompul yang tidak gentar lagi untuk beriadah dan beribadah secara terbuka.
Menurut Ibnu, melihat sokongan yang luar biasa tanpa mengira agama menangkis rasa takut dalam dirinya sebelum ini selepas dua buah masjid di bandar metropolitan itu menjadi sasaran pengganas sehingga mengorbankan 50 umat Islam pada 15 Mac lalu.
Sehingga semalam, Masjid Al Noor dan Masjid Linwood serta masjid-masjid lain di Christchurch masih ditutup selepas berlakunya insiden berdarah itu.
Bagaimanapun, Masjid Al Noor yang terletak di Hagley Park dibersihkan dan dicat sebelum itu.
Pelajar jurusan kedoktoran dari Universiti Canterbury itu berkata, rakyat New Zealand yang lain turut hadir memberi sokongan dengan berbaris sepanjang solat Jumaat diadakan.
“Kehadiran mereka lebih ramai berbanding umat Islam yang ada. Mereka berdiri di belakang saf wanita.
“Antara yang hadir sebahagiannya dari negara lain, sukarelawan dari Malaysia dan Australia,” katanya kepada BBC News Indonesia pada Jumaat.
Sebelum solat Jumaat, Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda hadir memberi khutbah menyatakan penghargaan komuniti Islam kepada beliau
“Hampir setiap minggu saya mendengar khutbah Jumaat tetapi kali ini adalah yang paling sedih, namun saya juga bangga kerana warga New Zealand begitu membantu,” katanya.
Selain itu, Ibnu turut melahirkan rasa bangga apabila kaum wanita yang hadir mengenakan tudung termasuk Perdana Menteri, Jacinda Ardern.
Ibnu turut sempat menghadiri upacara pengebumian dan mengaku sempat bertemu dengan beberapa keluarga mangsa.
“Mereka tidak dendam. Mereka yakin ini mati syahid. Jadi mereka semua ikhlas,” katanya.
#Australia
#Christchurch
#Islam
#Jacinda Ardern
#Malaysia
#Masjid Al Noor
#Masjid Linwood
#maut
#New Zealand
#pengganas
#serangan