Solat, iftar jadi pilihan keluarga Menteri Utama Scotland pada malam pertama di kediaman rasmi
Agensi
April 1, 2023 22:00 MYT
April 1, 2023 22:00 MYT
BIRMINGHAM: Menteri Utama (Ketua Menteri) Scotland yang baharu, Humza Yousaf berkongsi foto memimpin keluarganya menunaikan solat pada malam pertamanya di kediaman rasmi, Bute House.
Parlimen Scotland memilih Yousaf, 37, ketua Parti Kebangsaan Scotland (SNP), sebagai Menteri Utama Islam pertama baru-baru ini dengan menerima undian majoriti dewan sebanyak 71.
“Saat istimewa memimpin keluarga saya bersolat di Bute House selepas berbuka puasa bersama-sama,” tulisnya dalam kemas kini di Twitter.
Yousaf menjadi orang Islam pertama yang mengetuai parti utama di United Kingdom dan merupakan pemimpin dari etnik minoriti pertama kerajaan.
Sebelum undian di Parlimen, Yousaf bersaing dalam parti, menewaskan Kate Forbes di tempat kedua dan Ash Regan di tempat ketiga.
Yousaf, yang menyertai SNP pada 2005, juga merupakan setiausaha Kabinet Muslim pertama yang berkhidmat dalam kerajaan Scotland.
Yousaf dilahirkan dan dibesarkan di Glasgow. Ibu bapanya berasal dari Pakistan.
"Kita semua harus berbangga kerana hari ini kita telah menghantar mesej yang jelas bahawa warna kulit, atau kepercayaan, bukan penghalang untuk memimpin negara, rumah kita," kata Yousaf dalam ucapan kemenangannya.