Sokong Palestin: Himpunan besar-besaran di Chicago menjelang Konvensyen Nasional Demokrat

Bernama
Ogos 19, 2024 14:10 MYT
Ratusan peserta berkumpul di pusat bandar dengan ramai daripada mereka bersuara membantah tindakan ketenteraan di Semenanjung Gaza dan membawa slogan pro-Palestin. - Gambar/ Reuters
CHICAGO: Satu perhimpunan besar-besaran sedang berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat (AS) menjelang pembukaan Konvensyen Nasional Demokrat, lapor Sputnik.
Menurut seorang pewarta agensi berita Sputnik, ratusan peserta sedang berkumpul di pusat bandar, ramai daripada mereka bersuara membantah tindakan ketenteraan di Semenanjung Gaza dan membawa slogan pro-Palestin.
Seorang wakil jabatan polis tempatan memberitahu agensi itu bahawa penunjuk perasaan dijangka berarak melalui pusat bandar dari Sungai Chicago menuju ke Millennium Park di sepanjang satu daripada jalan utama bandar itu, Michigan Avenue.
Bagi memastikan keselamatan, banyak anggota polis telah ditempatkan sepanjang laluan itu, termasuk unit berbasikal dan unit kereta peronda.
Konvensyen Nasional Parti Demokrat akan membuka tirai di Chicago pada Isnin, yang akan memberikan persetujuan terakhir berhubung pencalonan Kamala Harris sebagai calon presiden AS mewkaili parti itu dan pencabar utama Donald Trump.
Konvensyen itu akan berlangsung dari 19 hingga 22 Ogos.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Konvensyen Nasional Demokrat #Kamala Haris #Palestin