AS sokong Malaysia Pengerusi ASEAN, kukuhkan hubungan Indo-Pasifik
Amirul Aiman
Oktober 11, 2024 09:40 MYT
Oktober 11, 2024 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony J. Blinken menyatakan sokongan negara itu terhadap Malaysia yang bakal mempengerusikan ASEAN pada 2025 serta membincangkan peluang kerjasama bagi meningkatkan kestabilan serantau.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap AS, Matthew Miller pada Khamis, kedua-dua negara komited untuk menyokong Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, selamat, berdaya tahan dan makmur.
Blinken bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Vientiane, Laos sempena mesyuarat ASEAN, di tengah-tengah sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia.
Dalam masa sama, Blinken berpendapat, Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia yang terjalin selama satu dekad kini berada di landasan yang kukuh.
Beliau turut memuji hubungan dua hala tersebut yang terus berkembang dan memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara.
“Kami komited untuk memperkukuh hubungan ini demi rakyat kami, sama ada melalui pertumbuhan ekonomi inklusif, isu-isu keselamatan, atau hubungan rakyat dengan rakyat,” kata Blinken.
Setiausaha Negara itu juga menekankan AS adalah penyumbang pelaburan langsung asing terbesar di Malaysia, yang mencerminkan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh terhadap ekonomi negara ini.
"Pelaburan sebegini tidak akan berlaku tanpa keyakinan yang tinggi terhadap sesebuah negara.
“Ia membuka peluang pekerjaan dan mencipta peluang yang kita semua boleh banggakan," tambahnya.
Anwar pula merakamkan pengharagaan kepada pentadbiran AS atas sokongan berterusan, terutama dalam memperkukuh sektor pelaburan di Malaysia.
Perdama Menteri turut menegaskan, pelaburan AS, khususnya di kawasan seperti Pulau Pinang, telah menjadikan rantau ini sebagai hab utama semikonduktor dan ekosistem yang berkaitan.
“Kawasan ini kini menjadi pusat kejayaan, dan ia adalah hasil usaha yang dikongsi bersama dengan negara jiran.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran AS, termasuk pentadbiran terdahulu, atas sokongan konsisten mereka," kata Anwar.
Selain itu, Blinken dan Anwar turut membincagkan krisis Gaza yang semakin meruncing.
Kedua-dua pemimpin itu menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan serta kemasukan bantuan kemanusiaan secepat mungkin ke Gaza.
-ENDS-
Tags: Antony Blinken, Anwar Ibrahim, AS-Malaysia, ASEAN 2025, Indo-Pasifik, Pelaburan, Gaza