Soalan bocor: Lebih sejuta perlu duduki semula peperiksaan, ratusan protes di jalanan
Agensi
Mac 30, 2018 06:15 MYT
Mac 30, 2018 06:15 MYT
Ratusan pelajar yang marah turun beramai-ramai ke jalanan di ibu negara India dalam tunjuk perasaan, sementara pihak polis menyoal siasat puluhan individu berkaitan insiden soalan peperiksaan sekolah menengah yang bocor.
Insiden soalan bocor itu membuatkan lebih daripada sejuta pelajar terpaksa mengulang semula peperiksaan itu, lapor AFP.
Polis kini menyoal siasat 45 orang termasuk pelajar dan tenaga pengajar berikutan isu berkenaan, namun belum ada sesiapa yang ditahan.
Soalan peperiksaan subjek Matematik dan Ekonomi telah tersebar dalam aplikasi Whatsapp sehari sebelum peperiksaan dijalankan, lalu memaksa pembatalan peperiksaan itu lalu mencetus kemarahan pelajar serta ibu bapa.
Penunjuk perasaan di New Delhi menyalahkan Lembaga Peperiksaan negara tersebut yang didakwa melakukan kecuaian.
Setiausaha Pendidikan Anil Swarup juga mengesahkan, lebih daripada sejuta pelajar diminta menduduki semula peperiksaan subjek Ekonomi pada 25 April nanti.
Bagi subjek Matematik, peperiksaan semula ditetapkan pada Julai, namun hanya khusus untuk Delhi dan Haryana kerana kebocoran soalan cuma berlaku di dua kawasan tersebut.
“Ini perkara yang malang. Para pelajar perlu menanggung derita akibat perbuatan orang lain,” ujar Swarup.
Penipuan dan memanipulasi sistem peperiksaan seperti merasuah pihak tertentu untuk mendapatkan soalan bocor, adalah sesuatu yang biasa di India.
Antara senario paling aneh adalah kenalan atau ahli keluarga yang sanggup memanjat tembok sekolah untuk memberikan jawapan kepada pelajar yang sedang menjawab soalan peperiksaan.
Menduduki peperiksaan Lembaga Pendidikan Menengah di India dan seterusnya lulus adalah penting bagi pelajar untuk diterima masuk ke universiti berprestij.
Pendidikan adalah satu persaingan dahsyat di negara yang berpopulasi tinggi dan padat itu, kerana ia adalah kunci untuk keluar dari kepompong kemiskinan seterusnya mengubah nasib hidup.
#Bantahan
#India
#Lembaga Peperiksaan
#New Delhi
#peperiksaan
#protes
#soalan bocor
#tunjuk perasaan